Pengedaran naskah al-Quran secara percuma oleh pertubuhan bukan
kerajaan yang dikenali sebagai Malaysia Reverted Muslims (MRM) bukan
untuk mengislamkan orang bukan Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman
Mustapha berkata MRM tidak pernah memaksa mana-mana individu bukan Islam
untuk menerima naskah terbabit.
“Ia diberi kepada mereka yang datang dan mendekati MRM untuk bertanya
lanjut berkaitan agama Islam dan keliru dengan apa yang Islam ajarkan.
“Jadi dengan membaca dan memahami al-Quran, segala misconception
tentang Islam dapat dibetulkan. Justeru sepatutnya tidak timbul istilah
paksaan menerima al-Quran atau enggan menerima al-Quran yang diberikan,”
katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada sebuah akhbar
berbahasa Cina yang menimbulkan kebimbangan mengenai penyimpanan naskah
al-Quran serta isu menukar agama.
“Sekiranya mana-mana pihak bukan Islam yang menerima dan tidak
bercadang lagi untuk menyimpannya boleh menyerahkan semula kepada pihak
MRM atau menyerahkan pada masjid surau mahupun memberikan kepada orang
Islam semula untuk menjaga kitab suci berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa orang bukan Islam boleh memeluk
Islam hanya dengan mengisi borang tertentu, Othman berkata: “Perlu
diketahui bahawa untuk seseorang itu memeluk agama Islam pertama sekali
adalah kerelaan hatinya sendiri tanpa ada sebarang paksaan dari
mana-mana pihak kerana tiada paksaan untuk seseorang itu memeluk Islam.
“Kemudian beliau hendaklah mengucapkan kalimah syahadah iaitu mengaku
bahawa Allah adalah tuhan yang satu wajib disembah dan Nabi Muhammad
adalah pesuruhNya.
“Pengakuannya itu disaksikan oleh muslim yang lain. Bukanlah semudah
mengisi borang semata-mata kerana pengakuan lisan itu adalah syarat
utama sebelum ia didaftarkan melalui prosedur seterusnya.” - mStar