ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan bagi dana RM35,000 bagi menampung kos perbelanjaan pembedahan yang akan dilakukan secepat mungkin di Institut Jantung Negara (IJN).
Nur Anissa Balkis Mohd Sakri, 2, anak bongsu daripada tiga beradik tidak mampu ketawa atau pun menangis akibat menderita injap jantung mengecil selepas 27 hari dilahirkan.
Lebih membimbangkan, doktor yang merawatnya memberitahu saiz lubang di jantung sebesar syiling 50 sen itu dikhuatiri membesar jika pembedahan tidak dilakukan secepat mungkin.
Ibunya, Norizan Budin, 43, berkata, dia risau dengan keadaan Anissa sekiranya pembedahan lambat dilakukan.
“Kalau boleh saya mahu Anissa mendapat rawatan pembedahan segera kerana keadaannya semakin hari semakin lemah dan tidak seceria dulu. Saya tahu anak saya menderita kesakitan hanya dengan mendengar deruan nafasnya saja.
“Pada awalnya lubang di jantungnya itu hanya ada satu, namun selepas pemeriksaan, doktor mendapati terdapat dua lubang dikenali sebagai ‘tettralogy fallot’.
“Saya sentiasa memeriksa suhu tubuh badan dia supaya normal seperti biasa kerana pernah tiba-tiba suhu badannya tinggi menyebabkan Anissa kaku seperti koma,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Bersatu, Kuala Kedah, di sini, semalam.
Menurutnya, jika suhu badan terlalu tinggi, dia terpaksa menghantar anaknya ke hospital atau pun membuat rawatan seperti yang diajar doktor dengan meninggikan kakinya supaya oksigen turun dengan lebih cepat ke jantungnya.
“Saya terpaksa berulang-alik ke hospital dua kali sebulan untuk mendapatkan rawatan Anissa. Saya sebolehnya tidak mahu dia menangis dan ketawa terlalu kuat walaupun saya merindukan saat Anissa ketawa.
“Oleh itu saya menumpukan sepenuh perhatian menjaga Anissa sepenuh masa dan mengambil keputusan berhenti kerja.
“Sebelum ini saya bekerja di kilang di Mergong untuk menampung pendapatan keluarga, tetapi doktor menasihatkan saya menumpukan perhatian kepada Anissa,” katanya.
Norizan berkata, suaminya, Mohd Sakri Ismail, 46, yang bekerja sebagai peniaga ikan yang berpendapatan RM700 sebulan hanya dapat menampung perbelanjaan harian.
“Saya buntu mengenangkan nasib anak ...ibu mana yang tidak risaukan anaktambahan pula dia anak bongsu yang paling manja dengan keluarga.
“Saya risau dengan keadaannya yang semakin kritikal dan akibat menunggu terlalu lama untuk menjalani pembedahan mungkin sesuatu terjadi kepadanya,” katanya
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi nombor telefon 019-4070530 atau 013-4070470.
Sumber: myMetro