Ahli Parlimen DAP Bantah, Persoal Kerajaan Terengganu Laksana Etika Aurat

Lim Lip Eng
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membantah dan mempersoal tindakan kerajaan Terengganu yang melaksanakan garis panduan pemakaian bagi pelancong terutama di kalangan wanita.

Pemimpin Pakatan Rakyat itu menyindir kerajaan Terengganu melaksanakan langkah yang disifatkan sebagai "ekstrim" itu berikutan laporan bahawa negeri tersebut mencatatkan bilangan pelayar tertinggi di laman web lucah sebelum ini. 

"Baru beberapa minggu menyatakan akan menangkap mereka yang tidak sembahyang Jumaat dan membawa mereka menaiki van jenazah sebagai hukuman. 

"Kita masih tertanya-tanya tentang mekanisme yang akan digunakan oleh penguatkuasa untuk menangkap mereka yang tidak sembahyang Jumaat sedangkan mereka sendiri sepatutnya hadir solat Jumaat.

"Kini saya amat terkejut dengan laporan bahawa kerajaan Terengganu akan memaksakan garis panduan pemakaian bagi pelancong, terutamanya wanita,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Lip Eng berkata, Terengganu merupakan sebuah negeri yang menarik minat ramai pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai dan laut sambil berjemur dengan pakaian renang masing-masing. 

Justeru itu, Ahli Parlimen DAP itu hairan kenapa Terengganu boleh terfikir untuk melaksanakan dasar sedemikian sedangkan pihak berkuasa negeri tersebut sepatutnya lebih memikirkan usaha memperbaiki kualiti hidup rakyat, membawa masuk pelaburan asing dan pelancong asing. 

Beliau mendesak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan. 

“Saya minta kerajaan segera mengekang dasar-dasar keagamaan melampau oleh kerajaan Terengganu ini, kerana jika ia tidak dipantau dan dihentikan segera, barangkali mereka akan mengharamkan penjualan pakaian dalam di pasar malam atau pusat beli-belah atau mengharamkan atlet wanita memakai baju tidak berlengan atau seluar pendek dalam sukan badminton, bola tampar, acara renang dan sebagainya,” katanya.