Aisyah BFM Dakwa Video Tidak Berniat Hina Hudud

KUALA LUMPUR – Pengacara stesen radio BFM Media Sdn. Bhd. (BFM Media), Aisyah Tajuddin semalam mendakwa bahawa beliau tidak menghina hukum hudud melalui video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi?".

Beliau sebaliknya mengatakan bahawa video itu hanya bertujuan mempersoalkan keutamaan PAS untuk melaksanakan undang-undang itu di Kelantan.

“Video itu adalah mengenai politik, kata-kata dan perbuatan ahli politik, semestinya bukan tentang agama,” dakwanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan oleh BFM Media.

Selain itu, Aisyah juga mendakwa bahawa liputan media mengenai penyebaran video itu yang menyebabkan tujuan sebenar video berkenaan telah disalah anggap oleh orang ramai.

Beliau mendakwa berasa tidak selamat kerana dirinya dan keluarga serta rakan sekerja menerima ancaman bunuh dan rogol berikutan salah faham tersebut.

Wanita itu turut melahirkan rasa kesal kerana ancaman yang diterimanya itu dianggap bukan karakter sebenar rakyat Malaysia.

Justeru, dia dilapor telah memohon maaf kepada semua pihak kerana bukan niatnya untuk mengejek dan menghina hukum Islam yang merupakan agamanya. -Kedahnews.com