MOSCOW – Seorang remaja Rusia maut terjatuh dari sebuah jambatan
kereta api selepas dia terpegang kabel elektrik berkuasa 30,000 voltan
di sini baru-baru ini.
Remaja tersebut yang dikenali sebagai Maxim, 14, dan masih
bersekolah, dirakam oleh rakannya sedang memanjat jambatan setinggi
30.48 meter itu dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo.
Semasa di atas jambatan tersebut, Maxim bergerak ke hujung struktur
berkenaan untuk melihat panorama yang lebih menarik. Namun, dia gagal
mengimbangi badan dan berpaut pada kabel elektrik berkuasa tinggi itu.
Mangsa kemudian terjatuh ke bawah dan meninggal dunia.
Polis Rusia menyebarkan klip video aksi Maxim untuk memberi
pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan perkara berisiko
seperti itu.
Jurucakap polis, Jana Vasilieva berkata, kemalangan ngeri itu
mengakibatkan remaja tersebut hilang nyawa sekali gus membuktikan
perbuatan menceroboh landasan kereta api adalah berbahaya.
“Kita tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana siasatan kes ini masih berjalan,” ujarnya. – Agensi