Alor Setar Bandar Dalam Taman Dalam Tempoh 10 Tahun

ALOR SETAR - Bandaraya Alor Setar bakal muncul sebagai bandar dalam taman ataupun bandaraya bunga dalam tempoh terdekat antara lima sehingga 10 tahun nanti.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, kewujudan bunga tekoma atau dikenali sebagai sakura Kedah mendapat sambutan ramai.

“Rata-rata penduduk menyambut baik keindahan panorama bandaraya Alor Setar umpama musim bunga setahun sekali berlaku antara Mac hingga April ini.

“Oleh demikian, pelbagai perancangan dilaksanakan bagi mengindahkan landskap bandar raya ini berdasarkan sambutan berkenaan,” katanya.

Antaranya katanya, kerja-kerja pengubahsuaian landskap dilakukan bagi mewujudkan lokasi khas bunga tekoma dikenali sebagai Taman Sakura Malaysia di bandar raya ini.

Menurutnya, dua kawasan berpotensi dikenal pasti sebagai Taman Sakura Malaysia iaitu Taman Awam Peremba dan Taman Jubli Emas, di sini.

"Kira-kira 60 pokok tekoma sudah pun ditanam di Taman Jubli Emas, manakala kerja-kerja menanam 200 pohon sama sedang dalam pembinaan kini.

"Idea mewujudkan lokasi khas berpotensi sebagai kawasan rekreasi dan riadah sekeluarga dipenuhi bunga sakura Kedah diperoleh melalui respons positif penduduk," katanya.

Malah katanya, mana-mana pihak pemaju dikenakan syarat menanam bunga sakura Kedah mulai tahun ini bagi merealisasikan bandar dalam taman di Kedah.

"Kira-kira 400 pokok tekoma berwarna putih, merah jambu dan kuning sedang berkembang mekar sekitar Alor Setar sejak minggu lepas.

"Untuk, itu, kira-kira 500 pokok tekoma lagi akan ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menghiasi dan mencantikkan landskap bandaraya Alor Setar," katanya.