AMK Dakwa Polis Tiada Kuasa Halang #KitaLawan, Malah Perlu Bantu Himpunan

Melissa Sasidaran bersama Nik Nazmi dan isteri.
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perhimpunan bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, #KitaLawan sebagai haram.

Ketua Biro Pendidikan Politiknya, Melissa Sasidaran mendakwa, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah tidak sedar tentang kes `landmark Nik Nazmi lawan Pendakwa Raya’ yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014.

‘Kes itu memutuskan peruntukan seksyen 9(5) APA (Akta Perhimpunan Aman) 2012 yang menyatakan bahawa seseorang penganjur perhimpunan aman jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 sekiranya tidak memberi notifikasi 10 hari sebelum perhimpunan bukan lagi undang-undang yang boleh dikuatkuasa kerana telah diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan dan oleh itu tidak sah dan batal.

“Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa suatu perhimpunan aman tidak boleh dijenayahkan melalui undang-undang,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Melissa mendakwa, APA 2012 langsung tidak memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengisytiharkan mana-mana perhimpunan sebagai haram dan oleh itu sebarang percubaan untuk menyekat perhimpunan aman #KitaLawan di luar batasan kuasa polis.

Malah, dakwanya, pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk membantu perjalanan perhimpunan #KitaLawan.

Media semalam melaporkan penyokong Anwar yang dipenjarakan selama lima tahun kerana kesalahan meliwat seolah-olah mahu mencabar pihak polis ekoran berdegil mahu mengadakan perhimpunan di tengah-tengah ibu kota iaitu di hadapan pasar raya Sogo pada 7 Mac ini.