BALING – Walaupun anak kesayangannya berada jauh di bumi bergolak
Syria, ia tidak menghalang Ahmad Hussin mengharapkan berlakunya
keajaiban suatu hari nanti bahawa anaknya akan kembali ke pangkuan
keluarga.
Anaknya, Nor Mahmudah, 26, mengikut suaminya, Muhammad Wanndy Mohamad
Jedi, 25, yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam
Iraq dan Syria (ISIS) di Syria sebagaimana didedahkan oleh polis
semalam.
“Jika ada pesanan yang boleh disampaikan kepada dia (Nor Mahmudah),
saya harap dia pulanglah ke pangkuan keluarga. Saya pun tidak berapa
sihat, tak tahu sama ada akan bertemu dengan dia lagi atau tidak.
Pulanglah.”
“Hanya takdir yang akan menentukan sama ada dia akan pulang ke
pangkuan keluarga, sama juga seperti takdir yang menentukannya untuk
berada di Syria,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.
Walaupun lumpuh di kedua-dua bahagian kakinya serta separuh badannya
akibat serangan angin ahmar, namun beliau tetap gigih menanggung
kehidupan keluarga dengan bekerja sebagai tukang kasut di pekan Baling
sejak 1987.
Disebabkan lumpuh, Ahmad terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Lebih dikenali dengan nama “Majeed” di kalangan warga pekan yang
bersempadan dengan Thailand, Ahmad berkata, kali terakhir beliau bertemu
anaknya adalah pada Oktober tahun lepas ketika menjalani rawatan di
Hospital Sungai Petani.
Pada ketika itu, beliau sedang bersiap sedia menjalani pembedahan di bahagian perut.
“Itu adalah kali terakhir saya bertemu dengan Nor Mahmudah. Beliau
datang (ke hospital) berseorangan tanpa suaminya. Selepas itu kami tidak
pernah bertemu, mahupun berbual menerusi telefon,” katanya.
Nor Mahmudah merupakan anaknya hasil perkahwinan pertama beliau.
Beliau juga berkata tidak pernah mengetahui anaknya berada di Syria
sehinggalah dimaklumkan oleh anggota polis yang berkunjung ke rumahnya
di Carok Nau semalam.
“Saya amat terkejut apabila diberitahu bahawa Nor Mahmudah kini
berada di Syria mengikut suami, tetapi saya menerimanya sebagai suatu
ketentuan Allah SWT,” katanya.
Ditanya perkenalan anaknya dengan Muhammad Wanndy yang berasal dari
Durian Tunggal, Melaka, Ahmad berkata beliau tidak mengetahui
mengenainya tetapi mengesyaki berkemungkinan ia berlaku ketika kedua-dua
mereka bekerja di Pulau Pinang tahun lepas.
Anaknya juga tidak pernah memperkenalkan bakal suaminya kepada mereka
sekeluarga sebelum berkahwin dan Muhammad Wanndy hanya berkunjung rumah
mentuanya di Baling sebanyak dua kali selepas pernikahan mereka,
katanya.
“Beliau (Nor Mahmudah) ada meminta izin saya untuk berkahwin dan saya
berkata jika dia berkeyakinan lelaki itu (Muhammad Wandy) adalah elok
untuk dia, maka eloklah pada saya,” katanya.
Ahmad berkata, beliau tidak mahu menghalang perkahwinan kedua anaknya
itu selepas perkahwinan terdahulunya berakhir dengan perceraian,
walaupun tidak mengenali latar belakang secara terperinci menantunya
itu.
Ditanya sama ada Nor Mahmudah dan menantunya itu seorang yang alim
dan kuat beragama, beliau menidakkannya dan berkata, semasa pertemuan
dengan Muhammad Wandy sebelum ini, menantunya hanya memakai seluar
pendek.
Bagaimanapun, Ahmad mengakui, beliau tidak pernah bercakap dengan menantunya semasa dua pertemuan singkat sebelum ini. – BERNAMA