Arab Saudi Lancar Serangan Udara Terhadap Pemberontak Syiah Di Yaman

Kerajaan Arab Saudi dilapor telah melancarkan operasi ketenteraan termasuk serangan udara di Yaman terhadap pemberontak Houthi Syiah.

Menurut Duta Besar Arab Saudi di Amerika Syarikat (AS), Adel Al-Jubeir, Arab Saudi bertindak untuk ‘mempertahankan kerajaan yang sah’ iaitu Presiden Abrabbuh Mansour Hadi.

Operasi serangan udara yang dilancarkan oleh Arab Saudi dilaporkan pada jam 11 malam semalam waktu tempatan.

Adel turut berkata pihak tentera AS tidak terlibat langsung dalam serangan tersebut namun mengakui pihak mereka ada mengadakan rundingan secara tertutup dengan pentadbiran Presiden AS, Barack Obama sebelum meneruskan serangan itu.

Difahamkan bahawa para pemberontak yang berkembang pantas sebelum itu telah memaksa Hadi melarikan diri dari bandar Sanaa.

Sementara itu, pemberontak kanan Houthi, Mohammed Al-Bukhaiti memberi amaran bahawa operasi Arab Saudi itu merupakan pencerobohan terhadap Yaman dan boleh mencetuskan ‘perang besar’ di rantau ini.

Pemberontak Houthi juga dikatakan sudah berjaya merampas fail perisikan AS yang mengandungi data sulit mengenai operasi AS di Yaman. -Kedahnews.com