Awas Ancaman Internet, Jom Sokong Usaha Menteri Ini Lindungi Anak-Anak Kita..!

Seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan ibu bapa yang terkenal dengan jiwa prihatin dan memiliki sifat kasih sayang yang tinggi kepada golongan kanak-kanak dimohon supaya menyokong usaha Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk melindungi mereka dari ancaman siber yang semakin menakutkan.

Menurut kajian yang diperoleh dari Laporan Kaji Selidik Kebangsaan CyberSAFE di Sekolah pada tahun lalu, dilaporkan bahawa kira-kira 40 peratus daripada kanak-kanak di negara ini tidak tahu cara untuk melindungi diri mereka di internet.

Kata sumber, antara lima ancaman yang sering menjadikan anak-anak di negara ini sebagai mangsa adalah seperti yang berikut;
 (i) Buli siber (cyber bully) - di mana kanak-kanak diancam, diganggu, dihina,dimalukan atau disasarkan oleh kanak-kanak lain dalam dunia siber. Ancaman, gangguan dan seumpamanya itu dilakukan menerusi penghantaran mesej menerusi laman sosial, penyebaran gambar-gambar yang membahayakan atau yang berunsur lucah;

(ii) Cyber-grooming - proses yang digunakan oleh pesalah laku siber dengan menjadikan sasarannya melalui cara berpura-pura berkawan dengan kanak-kanak dalam dunia siber demi mendapat kepercayaan hingga mereka tidak menyedari bahawasanya mereka telah dipergunakan;

(iii) Pencurian identiti (identity theft) - seseorang menggunakan maklumat peribadi orang lain yang didedahkan secara tidak sengaja atau dicuri. Maklumat-maklumat ini adalah seperti nama, tarikh lahir, nombor telefon dan sebagainya yang diperoleh oleh pesalah laku siber tanpa pengetahuan pemiliknya yang bertujuan untuk melakukan penipuan atau jenayah-jenayah lain;

(iv) Pornografi di mana seseorang kanak-kanak boleh diperdaya dengan mudah supaya mempamerkan dirinya dalam keadaan bogel atau mengghairahkan dengan memberikan insentif tertentu; dan

(v) Keganasan di mana kandungan Internet atau laman web yang mempunyai unsur-unsur keganasan yang mudah diakses oleh kanak-kanak seperti permainan berbentuk peperangan dan pembunuhan.


Justeru itu kata sumber dalaman dari kementerian terbabit, pihak kerajaan telah memandang serius ancaman-ancaman terhadap generasi akan datang itu menyediakan empat objektif utama untuk berhadapan dengan masalah ini. 

Antara objektif utama tersebut pula adalah seperti yang berikut;
ADVOKASI

(i) meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai isu perlindungan kanak-kanak dalam dunia siber; 

(ii) memastikan kanak-kanak dan keluarga diberi kefahaman berhubung ancaman dan implikasi yang wujud di dalam dunia siber; dan 

(iii) menggalakkan setiap organisasi / keluarga mewujudkan peraturan am mengenai perlindungan kanak-kanak dalam dunia siber. 

PENCEGAHAN 

(i) meningkatkan tahap jati diri dan pengetahuan bagi kanak-kanak dalam dunia siber; 

(ii) meningkatkan tahap keselamatan bagi kanak-kanak dalam dunia siber; 

(iii) memperkukuhkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan;

(iv) mengupayakan golongan profesional dan bukan profesional untuk mengendalikan isu-isu perlindungan kanak-kanak dalam dunia siber (pembangunan kapasiti); 

(v) memperkukuhkan dan mempromosikan perkhidmatan pencegahan; 

(vi) menggalakkan penyertaan syarikat komunikasi, pembekal perkhidmatan Internet (Internet Service Providers) dan syarikat penyiar dalam melindungi kanak-kanak dalam dunia siber; 

(vii) kerjasama antara kerajaan dengan swasta bagi menggalakkan perkongsian maklumat dalam menangani risiko keselamatan kanak-kanak dalam dunia siber; 

(viii) mengkaji dan menyemak keperluan menambah baik undang-undang / garis panduan sedia ada berkenaan perlindungan kanak-kanak dalam dunia siber; dan 

(ix) meningkatkan perkongsian maklumat dan kerjasama antarabangsa. 


PELAN TINDAKAN PERLINDUNGAN KANAK-KANAK DALAM DUNIA SIBER 

Bagi mencapai objektif-objektif di atas, 20 strategi dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, intervensi dan khidmat sokongan.

Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut: 
Strategi INTERVENSI 

(i) mengenal pasti mangsa, pelaku dan pengguna; 

(ii) memantapkan kemahiran komunikasi antara ibu bapa dengan kanak-kanak, rakan sebaya, ahli keluarga dan komuniti; dan 

(iii) program pemulihan kanak-kanak dalam dunia siber (pemulihan untuk mangsa, pelaku dan pengguna). 

KHIDMAT SOKONGAN 

(i) membangunkan program pemulihan yang komprehensif (termasuk sahsiah diri) kepada kanak-kanak yang terlibat dengan gejala sosial siber; 

(ii) memperluas dan meningkatkan perkhidmatan sokongan dan pemulihan kepada mangsa, pelaku, keluarga dan komuniti setempat; 

(iii) meningkatkan jaringan kerja antara kerajaan dengan NGO yang memberikan perkhidmatan perlindungan (pemeliharaan dan pemulihan) kepada individu yang terlibat; 

(iv) melibatkan kanak-kanak di semua peringkat dalam program-program yang dilaksanakan; dan 

(v) menjalankan kajian dan penyelidikan berkenaan perlindungan kanak-kanak dalam dunia siber.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim
Katanya, perlindungan amat diperlukan memandangkan sifat kanak-kanak yang masih belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi agar mereka tidak dieksploitasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia sewajarnya kita menyokong langkah yang diusahakan pihak kerajaan itu bagi melindungi anak-anak kita dari sebarang ancaman yang mampu membahayakan diri mereka di zaman serba mencabar ini. -Kedahnews.com