PUTRAJAYA – Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) menafikan
penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam penganjuran
program pakej umrah yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di
seluruh negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Anan C. Mohd berkata program itu yang telah
menular sehingga ke Langkawi, Kedah merupakan satu penipuan dengan pihak
penganjur membuat kutipan sebanyak RM500 bagi setiap penyertaan.
“JAWHAR selaku ahli Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) mengingatkan
orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan pakej umrah yang sering
kali menggunakan nama-nama pemimpin dan orang kenamaan untuk menarik
minat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.
Selain itu, katanya pada masa ini terdapat tiga bentuk penipuan pakej
umrah iaitu penipuan dengan niat enggan mengadakan perkhidmatan,
perkhidmatan tidak sama seperti dijanjikan serta penipuan seperti gores
dan menang, cabutan bertuah dan kad seumur hidup.
Beliau berkata modus operandi adalah seperti tawaran pakej murah, MLM
(pemasaran pelbagai peringkat), tajaan dengan jemaah hanya membayar
sebahagian daripada kos sebenar dan menggunakan orang berpengaruh
seperti artis, ustaz dan imam.
Anan turut menasihatkan orang ramai untuk menyemak laman web JAWHAR
dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi memastikan syarikat
serta pakej umrah yang ditawarkan mempunyai lesen yang sah. – BERNAMA