Awie Terima Sandang "Sri Pelangi Gangga Chula Sakti" Dari PSSPGM

Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dilaporkan baru sahaja menerima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong, sandang Sri Pelangi Gangga Chula Sakti.

Awie yang juga kini merupakan Imam Khalifah Gayong mendedahkan bahawa dia sudah lama terlibat sebagai anak Gayong sejak kecil lagi dan bapanya merupakan seorang guru silat berkenaan.

"Saya berterima kasih atas anugerah sandang kebesaran Gayong ini. Di Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015 ini, saya menerima sandang Sri Pelangi Gangga Chula Sakti selaku Imam Khalifah Gayong.

"Semenjak kecil saya sudah belajar seni silat gayong. Arwah bapa saya juga merupakan guru silat, namun begitu, bapa saya enggan mengajar saya. Jadi saya mencari inisiatif sendiri untuk belajar bersilat," jelas Awie.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015 anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia bertempat di Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan malam tadi.

Jelas Awie, dia sebenarnya sudah lama terlibat dalam Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Semoga dengan penganugerahan ini dapat memberi semangat buat Awie untuk bergiat lebih aktif dalam bidang seni silat ini. -Kedahnews.com