BUKIT PINANG - Mangsa serangan babi hutan di Pondok Kepala Bukit dekat
sini baru-baru ini kerugian kira-kira RM5,000 apabila barangan dalam
rumah itu terpaksa dibuang akibat kejadian itu.
Mangsa, Nor Shohiba Ibrahim, 28, berkata, dia dan suaminya, Ahmad Daud
Abdullah, 37, terpaksa membuang katil, tilam dan pakaian yang dipenuhi
darah manakala beberapa barangan elektrik turut dirosakkan haiwan
berkenaan.
Menurutnya, dalam kejadian Sabtu lalu, haiwan liar itu masuk ke dalam
rumah lalu dan memecahkan cermin tingkap serta cermin kabinet dapur
hinggalah badannya tercedera.
“Oleh kerana berasa terkepung babi setinggi hampir satu meter itu cuba
melompat keluar melalui tingkap hingga menyebabkan beberapa cermin
pecah tetapi ia gagal.
"Tindakan babi itu menyebabkan darah dari badannya terpalit di dinding rumah,” katanya.
Nor Shohiba berkata, selepas babi itu ditangkap mereka mengumpulkan
semua pakaian, tilam dan almari yang terkena darah untuk dibakar.
Jelasnya, jiran turut membantu menyamak bahagian dalam rumah terutama di kawasan yang terkena darah haiwan berkenaan.
“Nasib baiklah jiran membantu jika tidak sudah tentu akan meletihkan
lagi kami selepas membersihkan segala peralatan,” katanya.
Nor Shohiba berkata, sejak kejadian itu, ibu mertuanya yang mendapat
rawatan dihantar ke hospital Jitra selepas lengan tangan kanannya cedera
kini berehat di rumah kakaknya kerana masih trauma. -Sinar Harian