KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan badan khas bagi mengurus
pengambilan pekerja asing,persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan
badan itu yang telah diputuskan Kabinet, akan berfungsi untuk
mengkoordiansi semua proses pengambilan dan pendaftaran serta pemantauan
dan penguatkuasaan pekerja asing.
Beliau berkata ketika ini urusan pengambilan pekerja asing melibatkan 11 kementerian dan agensi berlainan.
“Dengan keputusan Kabinet untuk mewujudkan badan khas pengurusan
pekerja asing ini, kita berharap langkah-langkah penyelarasan dapat
dilakukan termasuk dari segi penguatkuasaan,” katanya menjawab soalan
Datuk Mohd Idris Jusi (PKR-Batu Pahat).
Ahmad Zahid berkata setakat ini terdapat 2.05 juta pekerja asing di
Malaysia, 1.9 juta daripadanya adalah pekerja tidak mahir manakala
150,000 lagi adalah pekerja mahir.
Katanya pekerja asing dibawa masuk sebagai buruh dalam sektor
pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian dan juga
sebagai pembantu rumah.
Mengenai jenayah yang melibatkan pekerja asing, Ahmad Zahid berkata
pada tahun lepas, sebanyak 13,997 atau 14.8 peratus daripada 94,371 kes
yang dilaporkan melibatkan pekerja asing.
Justeru katanya, dakwaan bahawa kebanyakan jenayah dilakukan pekerja asing adalah tidak benar.
Katanya pihak berkuasa juga akan terus menjalankan operasi untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.
Beliau berkata daripada Januari sehingga 25 Mac tahun ini, sebanyak
1,855 operasi telah dilaksanakan Jabatan Imigresen dan kira-kira seramai
12,000 pekerja asing tanpa izin telah ditangkap manakala 134 majikan
ditahan kerana kesalahan mengambil pekerja asing tanpa izin.
Ahmad Zahid berkata program serah diri secara sukarela pada tahun
lepas telah mendapat sambutan seramai 112,278 pendatang tanpa izin
dengan jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM44.8 juta.
Manakala sehingga 25 Mac tahun ini, seramai 19,482 pendatang tanpa
izin telah mengikuti program ini, dengan jumlah kompaun sebanyak RM7.7
juta telah dikeluarkan, katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Mohd Johari Baharum (BN-Kubang
Pasu), Ahmad Zahid berkata terdapat kira-kira 530 lorong tikus di
sepanjang kawasan Perlis hingga Kelantan yang bersempadan dengan
Thailand.
Katanya selain menjadi akses keluar masuk warga kedua-dua negara, ia
turut menjadi laluan untuk menyeludup masuk senjata, dadah dan barangan
bersubsidi ke negara jiran.
Katanya antara cadangan untuk membendung masalah jenayah di sempadan ialah membina pagar keselamatan elektrik.
Bagaimanapun, katanya anggaran kos pembinaan sebanyak RM5.1 bilion adalah terlalu tinggi. – BERNAMA