“Saya tidak tahu apa yang saya akan beritahu pada isteri dan
anak lelaki saya,” demikian raungan seorang bapa apabila menyedari
bayinya meninggal dunia selepas ditinggalkan selama enam jam dalam
kereta.
Bayi lelaki berusia enam bulan itu, Jillian Freier, ditinggalkan di
dalam kenderaan bapanya, Joshua Freier selepas dia terlupa untuk
menghantar anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak di Oregon, Amerika Syarikat.
Joshua yang juga seorang jurutera komputer kemudiannya terus pergi ke
tempat kerjanya dan melakukan aktiviti harian termasuk mengadakan
mesyuarat.
Sementara Jillian yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang,
menderita kepanasan hinggakan dia seolah-olah `dipanggang’ hidup-hidup.
Ketika itu cuaca adalah 21 celsius dan pemeriksaan yang dijalankan
mendapati suhu di dalam kenderaan berkenaan adalah 116 darjah menjelang
pukul 2 petang.
Meskipun kejadian itu berlaku pada bulan Oktober tahun lepas namun nama bapa dan bayi malang itu hanya didedahkan hari ini.
Siasatan masih dijalankan tetapi Joshua tidak ditahan polis.
Kejadian itu hanya disedari oleh Joshua selepas isterinya
menghubunginya dan memaklumkan bahawa bayi mereka tiada di pusat jagaan
kanak-kanak.
Ketika itu barulah Joshua menyedari bahawa bayi berkenaan masih
berada di bahagian belakang kenderaannya, lalu sepantas kilat dia
berlari ke tempat letak kereta.
Namun Joshua sudah terlambat. Jillian tidak lagi bernafas dan muka bertukar menjadi lebam manakala mulutnya pula sudah berbuih. -Kedahnews.com