Bekas Kekasih Doakan Lana Nodin Bahagia Dengan Bakal Suami "Mat Salleh"

Bekas kekasih pelakon seksi Lana Nodin, Johan As’ari mendoakan kebahagiaan aktres tersebut yang dilaporkan bakal menamatkan zaman bujangnya pada pertengahan bulan Mei ini.

Mendedahkan dia mengetahui berita perkahwinan itu menerusi laporan media, Johan turut menitipkan doa agar bekas teman wanitanya itu berbahagia sehingga ke akhir hayat bersama bakal suaminya.

Lana bakal berkahwin dengan bekas atlet Olimpik dari Amerika Syarikat, David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud McKienzie pada 15 Mei ini di Hotel Istana.

Walaupun perhubungan mereka terputus di tengah jalan namun pelakon berusia 29 tahun itu menjelaskan dia tidak pernah menyimpan dendam atau benci terhadap aktres itu sebaliknya menganggap kehadiran wanita itu sebagai mengajarnya mengenai erti kehidupan.

"Lana adalah seorang wanita yang baik dan sepanjang mengenalinya dia banyak mengajar saya tentang cara untuk memahami kaum wanita dengan lebih baik. 

"Meskipun tiada jodoh diantara kami itu bukan bererti saya perlu membencinya kerana dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya,” katanya yang dipetik dari mStar.

Lana semalam mengadakan majlis sidang akhbar memperkenalkan bakal suaminya serta menghebahkan maklumat lanjut mengenai majlis akad nikahnya. -Kedahnews.com