Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman |
Pas Selangor menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengekalkan jawatannya sebagai
presiden parti itu.
Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata, parti itu memerlukan
kepimpinan Abdul Hadi dan sehingga kini belum ada yang layak untuk
mengambil alih jawatannya.
"Sehubungan itu, Pas Selangor sangat mengalu-alukan kenyataan Mursyidul
Am, Datuk Dr Haron Din supaya presiden (Abdul Hadi) kekal.
"Kita gembira dengan kenyataan tersebut dan Pas Selangor akan
bersama-sama mempertahankan kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi," katanya
dalam satu kenyataan, semalam
Semalam, Haron yang dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu
menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, belum
masanya untuk parti itu menukar presiden dan berpendapat anggota Pas
perlu taat kepada Abdul Hadi.
Bagaimanapun Haron berkata, setiap cawangan mempunyai hak masing-masing
untuk menamakan calon bagi mengisi jawatan dalam parti tetapi
menegaskan nama calon yang dicadangkan perlu bersesuaian dengan keadaan
yang ada ketika ini.
Pada 9 Mac lepas, Pas kawasan Kota Bharu mencalonkan Naib Presiden Pas,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan Presiden Pas pada Muktamar
Tahunan ke-61 Pas Pusat, Jun depan.
Mohd Khairuddin berkata, Pas Selangor mendukung kepimpinan ulama
termasuk mana-mana pemimpin profesional atau bukan profesional yang
mempunyai pendirian sama.
Malah, katanya, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad
juga telah beberapa kali menyatakan pendirian mendukung kepimpinan
ulama.
"Maka itulah pendirian kami (Pas Selangor)," katanya.
Mesyuarat agung bagi kesemua 22 kawasan Pas di Selangor akan bermula
pada 15 Mac ini melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan dan
pusat. - Bernama