Siapa tak kenal dengan Datuk Aliff Syukri Kamaruzaman atau lebih
dikenali dengan jolokan ‘Datuk Terlajak Laris’, pengasas produk
kecantikkan dan penjagaan kesihatan D’Herbs.
Setiap kali iklannya ditayangkan di layar televisyen, pasti tak
lekang biji mata penonton menyaksikan lagak Aliff Syukri mengucapkan
tagline produk kosmetiknya iaitu ‘Terlajak Laris’.
Ingat lagi dengan ungkapan, “Eiiii… Macam Dayang Senandung. Muka je putih, tangan hitam?”
Nah, kerana iklan produk itu, nama Aliff Syukri melonjak naik dan menjadi perhatian ramai.
Namun, kerana imejnya yang memakai baju sarat perhiasan, ditambah
pula intonasi suara ‘kepit’, kebanyakan pihak melontarkan persepsi
negatif terhadap bapa kepada tiga anak itu.
Pelbagai kata nista dan ejekkan diberi kepada Aliff Syukri, namun tak ramai yang tahu, perwatakkannya bukanlah seperti itu.
Demi kelangsungan syarikatnya, Aliff Syukri sanggup memekakkan
telinga dan membutakan mata terhadap pandangan serong sesetengah pihak.
Imbasnya kembali ketika mula menapak dalam perniagaan beberapa tahun lalu, beliau gagal untuk menarik perhatian umum walaupun mencuba pelbagai strategi pemasaran.
Antaranya, dia pernah menyamar menjadi seorang pegawai pemasaran
kerana tidak memiliki pekerja sendiri, malah sengaja menonjolkan dirinya
sebagai model dari Pakistan namun ia turut gagal menarik perhatian.
Memetik ceritanya dalam laporan Berita Harian, “Saya menukar strategi
muncul di televisyen dengan menggayakan watak korporat, tetapi kesannya
kurang menjadi. Selama dua tahun wang dilaburkan untuk pengiklanan
habis begitu saja.”
Akhirnya, dia memutuskan untuk melakukan transformasi dengan menukar
penampilannya dengan pakaian ‘berkilat’ dan dan menyaringkan suara.
“Ternyata, sesuatu yang pelik itulah yang menjadi bualan masyarakat
dan biarpun pelbagai tohmahan diterima daripada masyarakat, namun
impaknya sangat besar kepada jualan.”
Walau bagaimanapun, ia hanyalah ‘sandiwara’ semata bagi menarik
perhatian ramai lantas memperkenalkan produknya. Di luar dan di rumah,
beliau adalah seorang lelaki normal dengan karakter serius, kuat bekerja
dan cerewet.
“Pada saya biarlah apa orang di luar ingin mengata mengenai saya.
Saya tidak bimbang sekali pun kerana mereka tidak memberi wang kepada
saya. Saya lebih utamakan kepada pelanggan saya yang membeli produk
D’Herbs.”
Sekadar informasi, Datuk Aliff Syukri telah berkahwin pada usia 19
tahun dengan rakan sekerja sendiri, Datin Nur Shahida Mohd Rashid.
Kini, setelah perniagaannya berusia enam tahun, dia boleh berbangga
kerana memiliki 100 pekerja, 30 cawangan, 20,000 ejen dan tiga spa.
Sumber: Mynewshub.cc