Brunei Juara Perahu Naga Antarabangsa Di Tanjung Chali

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
ALOR SETAR – Pasukan Brunei buat pertama kalinya mengungguli pertandingan Perahu Naga Antarabangsa (Medal A) pada Temasya Sukan Sungai kali ke-82 di Dataran Tanjung Chali, di sini, semalam.

Pada pertandingan itu, Brunei mencatat masa terpantas iaitu 4.42 minit diikuti Malaysia dengan catatan masa 4.49 minit.

Kategori pertandingan itu turut menyaksikan satu-satunya pasukan wanita yang mewakili Thailand mencatat masa 6.09 minit.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut berangkat menyaksikan tujuh kategori pertandingan akhir terbabit.

Bagi kategori pasukan beruniform, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjuarai pertandingan itu dengan catatan 4.26 minit, diikuti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (4.35 minit) dan Penjara (5.23 minit).

Sementara itu, kategori antara daerah pula menyaksikan Kubang Pasu mengungguli pertandingan dengan catatan masa 4.23 minit.

Pasukan Pokok Sena menduduki tempat kedua (4.25 minit) dan Kulim di tempat ketiga (4.39 minit).

Selain itu, pertandingan terbabit juga menyaksikan kategori antara Istana Anak Bukit, Wisma Darul Aman dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB).

Pada pertandingan itu, Istana Anak Bukit muncul johan dengan catatan masa 4.21 minit, Wisma Darul Aman (4.32 minit) dan YSB (4.36 minit).

Kemuncak pertandingan adalah melibatkan kategori juara menentang juara antara pasukan Kubang Pasu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Istana Anak Bukit.


Mada yang muncul sebagai juara pertandingan itu pada Temasya Sukan Sungai kali ke-81 gagal mempertahankan kejuaraannya setelah tewas pada pasukan Istana Anak Bukit.

Pertandingan itu menyaksikan pasukan Istana Anak Bukit mengungguli tempat pertama dengan catatan masa 4.29 minit, diikuti pasukan Kubang Pasu (4.31 minit) dan Mada (4.32 minit).

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, naib johan RM1,000 dan tempat ketiga RM750.

Exco Belia dan Sukan, Aminuddin Omar berkata, penganjuran Temasya Sukan Sungai kali ke-82 cukup menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Temasya ini tertangguh selama dua tahun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada tahun ini, kita laksanakan semula sebagai hadiah daripada kerajaan negeri kepada Sultan Kedah sempena hari keputeraan baginda.

“Pada mulanya, pasukan Singapura juga berminat untuk menyertai temasya ini, tetapi terpaksa menarik diri atas alasan tertentu,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, Temasya Sukan Sungai yang bermula sejak 1931 akan dilaksanakan setiap tahun di lokasi sama.

“Selepas ini mungkin kita akan pilih satu pasukan khusus yang boleh mewakili negara untuk bertanding menentang negara lain.

“Kita akan cuba ke arah itu dan biasanya mereka diambil daripada pemenang-pemenang di peringkat negeri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian