Cabul Gadis Kolej Di Stesen LRT, Lelaki Dipenjara & Sebat 5 Kali

Hukuman sebat
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dikenakan hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencabul seorang pelajar kolej di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di sini, Jumaat lepas.
 
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman tersebut selepas E. Vincent, 39 mengaku salah mencabul kehormatan mangsa berusia 21 tahun dengan memeluk dan mencium pipi gadis itu di stesen LRT, Masjid Jamek, Jalan Tun Perak di sini, kira-kira pukul 9 malam.
 
Vincent, yang tidak diwakili peguam  didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
 
Selain itu, tertuduh dikenakan hukuman penjara setahun selepas mengaku salah atas tuduhan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika ditahan.
 
Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada malam kejadian. 
 
Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang berjalan bersama seorang rakannya di hadapan stesen itu secara tiba-tiba dipeluk kuat dari belakang oleh tertuduh dan mencium pipi gadis itu.
 
Bagaimanapun, mangsa, yang terkejut dengan perlakuan itu, berjaya menolak tertuduh sehingga jatuh dan pengsan.
 
Semasa kejadian, mangsa dapat menghidu bau arak yang sangat kuat daripada tertuduh. Pelajar itu membuat aduan kepada polis bantuan yang kemudiannya berjaya menangkap tertuduh yang masih pengsan.
 
Pegawai pendakwa Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah mengenakan hukuman  maksimum dengan alasan tertuduh memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri dan cubaan merompak.
 
"Rekod lampau itu menunjukkan tertuduh tidak insaf dengan kesalahan yang dilakukannya dan saya memohon hukuman paling maksimum supaya ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya. - Bernama