SELEPAS lebih sebulan mendapat perhatian seluruh rakyat
Malaysia melalui Anugerah Juara Lagu (AJL) Januari lalu, anggota Caliph
Buskers, Azmi Saat melahirkan kekesalan apabila kumpulannya dihina.
Melalui kemas kini status di Facebooknya, Azmi berkongsi rasa sedih
apabila sorakan dan sokongan yang diterima kini berubah kepada
penghinaan.
“Assalamualaikum. Apa khabar semua sahabat Azmi Saat dan Caliph
Buskers? Mudah-mudahan semuanya sentiasa dalam rahmat ALLAH SWT.Terima
kasih tidak terhingga kerana terus menyokong CB. Tanpa sokongan sahabat
semua, CB tak akan mampu bergerak ke mana-mana.
“Pasti ramai yang tahu tentang isu yang tersebar baru-baru ni. Apa dah
jadi? Ke mana perginya sorakan yang diberikan waktu AJL tempoh hari?
Kenapa sekarang berubah daripada sorakan kepada penghinaan?,” ujarnya.
Sebelum ini, Caliph Buskers dilaporkan sebuah portal berita tempatan
meminta agar pihak yang menganjurkan himpunan #KitaLawan di pusat beli
belah Sogo membatalkan niat tersebut kerana mengganggu kelangsungan
periuk nasi pemuzik jalanan yang mencari makan di kawasan tersebut.
Bulan lalu, kira-kira 50 peserta berhimpun bagi menunjukkan solidariti
kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman penjara selepas
didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari
Azlan.
Melalui kenyataan sama, Azmi merayu agar semua perbuatan tersebut
dihentikan dan memberi ruang kepada kumpulannya untuk berkarya.
“Memang sedih bila CB dihina. Tapi lebih sedih lagi bila nama CB
dikaitkan untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia terutamanya orang
Melayu. CB bermuzik bukan untuk berpolitik dan dipolitikkan malah CB
mahu muzik CB dapat memberikan ketenangan kepada semua orang.
“Kami merayu, hentikan lah isu tersebut. Janganlah kaitkan CB dalam
hal-hal yang luar daripada bidang CB. Izinkanlah CB berkarya dengan
tenang supaya CB dapat memberikan yang terbaik.
“Memang kami tak boleh memaksa semua orang meminati muzik CB, tapi kami
merayu, berhentilah dari menghina antara satu sama lain. Percayalah,
Tidak pernah sama sekali CB memberi arahan apa lagi amaran kepada
mana-mana pihak. Siapalah CB untuk berbuat sebegitu? Fikirlah sebaik
mungkin sebelum terus menyalahkan CB,” rayunya.
Melalui perenggan terakhir yang ditulisnya, Azmi menulis jika
ditakdirkan perjalanan Caliph Buskers terhenti, biarlah mereka berhenti
sebagai penghibur yang pernah memberi ketenangan bukan yang pernah
menyakiti hati orang lain. -Sinar Harian