Di era serba-serbi ada ini, banyak pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil jalan
mudah mengaut keuntungan dengan memanipulasi barangan sedia ada di
pasaran dengan menjual produk-produk tiruan.
Terbaru, satu kes melibatkan Milo tiruan yang dibuktikan dengan penyebaran rakaman
video dan rampasan oleh pihak berkuasa di satu kawasan perumahan di
Mantin, Negeri Sembilan.
Susulan timbul kebimbangan orang ramai tentang produk tiruan yang
dikhuatiri mungkin dibeli oleh mereka tanpa sengaja, pihak Nestle baru-baru ini menerusi
akaun rasmi Milo Malaysia memaklumkan cara mudah mengenalpasti ketulenan Milo.
Dengan makluman tersebut, para pengguna dengan mudah dapat mengenal pasti sama ada
Milo yang dibeli atau ingin dibeli adalah produk tulen atau tiruan.
“Pek Milo asal dibungkus dan dipotong oleh mesin. Oleh itu, bahagian
atas bungkusan tersebut tidak mempunyai gerigi yang jelas atau
sempurna,” tulis admin laman sosial rasmi Nestle Malaysia itu.
Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan membuat rampasan produk tiruan
jenama Milo berjumlah RM250,000 di sebuah taman perumahan mewah di
Mantin.
Apa yang mengejutkan, proses pembungkusan produk tersebut didapati dilakukan secara manual dan seolah hanya ditimbang kilo sahaja.
Lebih menarik lagi, ada pula yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu berkenaan, kononnya aktiviti itu dilakukan oleh "macai BN". Pelik benar bunyinya jika "pencuri rakam gambar tengah mencuri dan viralkan di laman sosial", kan? -Kedahnews.com