Dakwah Dan Penyampaian Ilmu Dalam Mengejar Barakah

Pendakwah bebas, Ali Zaenal Abidin al-Hamid
KEMUNCULAN pelbagai medium serta kaedah baharu dalam penyampaian dakwah dilihat semakin popular dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat umum.

Perubahan itu menunjukkan kesan positif terhadap perkembangan dakwah di seluruh dunia, terutamanya negara ini bagi mengembalikan kehidupan umat Islam yang bertepatan dengan tuntutan syariat di samping menambahkan jumlah pengikut Nabi Muhammad SAW itu dari semasa ke semasa.

Namun, berbeza dengan pendekatan dakwah cara tradisional, ilmu yang diperoleh tidak lagi menerusi penyampaian secara berguru, malah maklumat diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk pendakwah tidak dikenali yang ditemui di kaki lima jalan.

Perkara itu serba sedikit menimbulkan kekeliruan segelintir pihak kerana bertentangan dengan adab menimba ilmu yang menuntut orang yang ingin mendapatkan ilmu supaya mempunyai disiplin tersendiri bagi memperoleh keberkatan daripada maklumat yang disampaikan.

Mengulas perkara tersebut, Pendakwah bebas, Ali Zaenal Abidin al-Hamid berkata, setiap penyampaian dakwah dan maklumat yang bermanfaat mempunyai keberkatan walaupun dengan cara penyebaran maklumat menerusi media baharu dan juga pelbagai kaedah lain.

Malah ia tambahnya, turut digalakkan oleh Rasulullah SAW ketika hayat baginda yang turut menyuruh sahabat supaya memperluaskan saluran dakwah untuk mengembangkan agama Islam menerusi pelbagai cara.

“Ilmu ada dua iaitu yang ilmu yang ada pada hati dan juga ilmu pada lisan. Ilmu yang ada pada lisan merupakan sebahagian hujah daripada Allah SWT yang diberikan kepada orang yang berilmu. Ia bermakna semua orang boleh bercakap mengenai ilmu.

“Sementara ilmu yang lebih penting ialah ilmu daripada hati iaitu ilmu yang kekal di dalam hati yang bermanfaat dan boleh diamalkan. Oleh itu, ilmu yang disampaikan oleh orang yang berilmu dan beramal kepada pendengar menerusi apa juga saluran mempunyai berkat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menyokong kepelbagaian pendekatan dakwah kontemporari, Ali Zaenal Abidin berkata, kaedah dakwah yang menggunakan saluran media dan teknologi terkini itu mampu memberi kesan positif terhadap penyebaran dakwah dengan lebih meluas dan umum kepada semua lapisan masyarakat.

“Medium ataupun segala bentuk saluran dakwah untuk disampaikan merupakan salah satu cabang dakwah yang penting. Ini kerana tanpa saluran, dakwah tidak dapat disampaikan dengan meluas dan hanya diterima kepada golongan tertentu sahaja.

“Dakwah juga dapat disampaikan dengan pantas dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Bagaimanapun tambahnya, saluran itu perlu digunakan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan daripada menimbulkan fitnah dan disalah guna.  -Utusan