ALOR SETAR - DAP hari ini menegaskan rasa tidak puas hatinya terhadap PAS khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan sebagai tidak bermaruah serta tidak berlaku jujur kerana bekerjasama dengan UMNO dalam usaha merealisasikan perlaksanaan hudud di Kelantan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menegaskan bahawa DAP telah hilang kepercayaan terhadap Abdul Hadi sebagai salah seorang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, sekaligus memutuskan hubungan untuk bekerjasama lagi dengan Presiden PAS itu.
"DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.
"DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau," tegas Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Guan Eng turut mengungkit tindakan Abdul Hadi yang enggan mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor sebelum Mohd Azmin Ali dilantik ke jawatan tersebut.
Justeru dengan keputusan terbaru DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi, Guan Eng menjelaskan penggantungan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dianggotai pemimpin tertinggi parti masing-masing dan akan bertemu dengan PKR untuk berbincang tentang masa depan Pakatan Rakyat.
Meskipun PAS yang mahu melaksanakan hudud sejak 1993 dan membentang pindaan enakmen hudud di Sidang DUN Kelantan baru-baru ini, Guan Eng sebaliknya menyalahkan UMNO dalam hal ini kononnya telah menghasut PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
"UMNO telah menghasut PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014 semasa sidang Parlimen dengan menjanjikan sokongan Kerajaan Persekutuan," tuduh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Kesepakatan Pakatan Rakyat kini bagaikan "telur dihujung tanduk" sejak mula bersengketa dalam krisis Menteri Besar Selangor.
Pakatan Rakyat ketika ditubuhkan pada 2008 dan kekal tidak berdaftar secara sah hingga kini sering disifatkan sebagai tidak sepakat oleh para penganalisis politik ekoran mempunyai dasar dan perjuangan yang jelas bercanggah. -Kedahnews.com