Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali |
KLANG – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin
Ali hari ini enggan menyatakan pendirian parti itu berhubung tindakan
DAP Sarawak menarik diri daripada kerjasama politik Pakatan Rakyat (PR).
Beliau setakat menyatakan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bagi sebarang isu berkaitan kerjasama PR dengan DAP dan PAS.
Beliau cuba mengelak dari menyentuh isu berkenaan dengan mengatakan perkara tersebut boleh dibincangkan dalam forum yang lain.
“Tak apalah, kita bincang (mengenai tindakan DAP Sarawak keluar PR) dalam forum yang lain. Semuanya berada dalam keadaan baik.
“Saya sedia maklum dengan tindakan itu dan semua masalah boleh
diselesaikan dengan keadaan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik di Bandar
Parklands di sini.
Mohamed Azmin berkata, beliau tetap akan meneruskan kerjasama dengan DAP dan PAS seperti sebelumnya.
Menurutnya, ketiga-tiga parti dalam pakatan itu mempunyai kebijaksanaan tersendiri untuk menyelesaikan isu tersebut.
DAP Sarawak mengumumkan keputusan keluar daripada kerjasama PR
semalam kerana kecewa dengan tindakan PAS yang mahu melaksanakan hukum
hudud di Kelantan.
Pengumuman yang dibuat Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen itu
dikatakan mendapat persetujuan sebulat suara kepimpinan DAP negeri.
Mereka mendakwa PAS telah menyeleweng daripada dasar bersama PR apabila mahu melaksanakan undang-undang berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar
Selangor menegaskan perjanjian penstrukturan industri air Selangor hanya
akan dimuktamadkan pihaknya sekiranya kerajaan persekutuan berpegang
pada syarat asal.
Menurut beliau, pihaknya dijangka mengadakan pertemuan seterusnya
dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus
Ongkili minggu depan bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.
“Kerajaan negeri akan meneruskan rundingan tersebut kerana Setiausaha
Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi telah mengadakan
perbincangan dengan kerajaan persekutuan yang diwakili Ketua Setiausaha
Kettha Datuk Loo Took Gee, Isnin lepas,” katanya. - BERNAMA