KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
yakin pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April
depan, akan membantu memperkukuh kewangan negara.
Seri Paduka bertitah, seluruh rakyat perlu bersama-sama menjayakan
inisiatif itu seperti di negara lain yang melaksanakan GST bagi
memastikan pelbagai faedah dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
"Kerajaan bersama rakyat perlu melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan
dan pemantauan bagi mengelakkan peniaga daripada mengambil kesempatan
menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga yang boleh membebankan
rakyat kelak," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika merasmikan mesyuarat
pertama, penggal ketiga Parlimen Ke-13 di sini hari ini yang turut
menyaksikan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bersyukur dengan perkembangan
ekonomi negara meskipun berdepan persekitaran global mencabar termasuk
kejatuhan harga minyak mentah, komoditi dan turun naik nilai mata wang.
Seri Paduka bertitah strategi dan langkah-langkah yang dijalankan
kerajaan adalah jelas bagi memastikan asas ekonomi serta kewangan negara
terus kukuh dan berdaya tahan dalam memastikan pembangunan negara dan
rakyat terus terjamin.
Yang di-Pertuan Agong bertitah: "Beta mengucapkan tahniah kepada
perdana menteri di atas langkah proaktif untuk menangani cabaran ini
dengan menjajar semula dasar-dasar ekonomi dan melakukan konsolidasi
fiskal.
"Walaupun hasil kerajaan akan berkurangan namun pembangunan ekonomi
kekal seimbang, inklusif dan mapan. Perancangan pembangunan untuk
kebajikan rakyat tidak dipinggirkan, bahkan akan diteruskan khususnya
dalam memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan
sederhana."
Seri Paduka bertitah persidangan kali ini juga penting kerana kerajaan
akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi memastikan
kesinambungan pembangunan sosioekonomi negara.
Tuanku Abdul Halim bertitah penggubalan RMK-11 adalah lebih mencabar
kerana ia juga perlu memberi perhatian kepada usaha mitigasi dan
pemulihan pasca banjir luar biasa baru-baru ini selain menangani cabaran
global.
"Beta berharap Yang Berhormat semua dapat membahaskannya secara jujur
dan konstruktif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat," titah Seri
Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah meminta semua pihak melakukan usaha
lebih bersungguh-sungguh untuk membangunkan Malaysia memandangkan hanya
tinggal lima tahun bagi negara ini mencapai status negara maju
berpendapatan tinggi.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim bertitah penubuhan Majlis
Eksport Negara akan memperkukuh rantaian eksport produk, logistik dan
pengeluaran bagi melonjakkan eksport negara.
Justeru, Seri Paduka menggesa rakyat memainkan peranan dengan
mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara bagi menambat hati pelabur
memandangkan kerajaan telah menyediakan persekitaran pelaburan yang
kondusif.
"Selaras dengan strategi pengukuhan ekonomi dan daya saing negara,
usaha meningkatkan pelaburan dan mengukuhkan perdagangan perlu dipergiat
terutama dengan mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean," titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut mengucapkan tahniah atas pemilihan Malaysia sebagai
Pengerusi Asean 2015 dan pelantikan sebagai anggota tidak tetap Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 yang
memperlihatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap negara. -
Bernama