Demi Melihat Gembira Anak Di Syurga Keluarga...

Tema bawah laut puteri duyung.
Kalau sudah sayang dan punya wang, apa sangatlah kekangan untuk berbelanja besar semata-mata mahu memuaskan hasrat anak yang mengimpikan menjadi putera atau pu–teri kayangan?

Walaupun si kecil masih berlampin, kanak-kanak kini sudah memahami erti taasub dengan watak dongeng kartun kegemaran, manakala ibu bapa pula sanggup merealisasikannya.

Dahlia Mahmood yang berpengalaman mencipta kamar tidur mengikut tema dikehendaki mengaku ada yang sanggup membayar sehingga AS$70,000 (RM248,000) apabila dua anak perempuan berusia dua dan empat tahun mendapat bilik dilengkapi “pentas persembahan” dan kafe mini ala Perancis.

“Bagi bilik itu, katilnya yang dibentuk seperti istana berharga AS$6,000 (RM21,000) dan permaidani AS$20,000 (RM71,000). Seluruh bilik diwarnakan merah jambu dengan dihiasi reben dan bentuk hati,” katanya.
Alam fantasi dicipta untuk ‘puteri’ berusia dua tahun.
Dia mengakui lambakan filem Disney berkonsep puteri seperti Cinderella dan Frozen banyak mempengaruhi cita rasa pelanggannya malah dia sendiri mempunyai fantasi ketika kecil yang secara langsung mencetus minatnya dalam bidang hiasan dalaman.

“Jika Walt Disney mampu menghasilkan sesuatu yang unik dan digemari kanak-kanak dan dewasa di seluruh dunia, begitu juga saya.

“Yang pasti, saya seronok melihat wajah kanak-kanak apabila menatapi bilik baru mereka untuk kali pertama,” katanya.

Dahlia bijak mencipta perabot yang direka khas untuk menepati tema pilihannya, malah antara hasil kerjanya yang paling bermakna adalah bilik tidur bertema bidadari untuk budak perempuan berusia dua tahun yang diubah suai lagi dua tahun kemudian sesuai dengan usia kanak-kanak itu.

“Setiap aspek rekaan kami dipilih khas supaya dapat digunakan untuk jangka panjang,” katanya.
Dua tahun kemudian, rekaan asal dikekalkan namun diubah suai mengikut usianya yang kini empat tahun.







Sumber: myMetro