KUALA NERUS – Jalan sepanjang empat kilometer akan dibina dari Long
Beach di Pulau Redang bagi menghubungkan kampung-kampung di pulau itu,
kata Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.
Beliau berkata, ketika ini penduduk pulau itu bagaikan terasing
berikutan kehadiran beribu pelancong setiap hari hanya tertumpu di Long
Beach manakala perkampungan terletak bersebelahan Berjaya Resort hanya
dihubungkan dengan bot.
“Walaupun pelancong berpusu-pusu ke pulau yang terletak di dalam
daerah Kuala Nerus itu, tetapi kami lihat manafaatnya tidak sampai
kepada keseluruhan masyarakat.
“Untuk membangunkan pulau yang menjadi ikon pelancongan ini, kami
akan membina sebatang jalan dari Long Beach ke perkampungan penduduk
dalam masa terdekat,” katanya pada majlis taklimat pertandingan
kebersihan rumah di Kampung Gong Lingai di sini.
Katanya, dengan pembinaan jalan itu akan memudahkan pelancong untuk
pergi melihat dan membeli produk yang dihasilkan penduduk, sekali gus
dapat membantu penduduk menambah pendapatan.
Azmi berkata, terdapat kira-kira 2,000 penduduk di pulau peranginan
itu yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, pemandu pelancong dan
bekerja di rumah-rumah tumpangan atau resort di samping menghasilkan
pelbagai produk kraf. – BERNAMA