KOTA KINABALU – Keluarga anggota polis marin, Zakia Aleip perlu
menunggu untuk bertemunya di rumah kerana dia mesti menyudahkan beberapa
perkara di Bukit Aman terlebih dahulu.
Sehingga kini hanya ibu bapa, isterinya Sharifah Erna Berson,24, anak
lelakinya berusia setahun (Hisham) dan beberapa keluarga terdekat
sahaja yang sempat berjumpa Zakia ketika dia tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kota Kinabalu pada petang Sabtu lalu.
Zakia,27, diculik oleh kumpulan bersenjata ketika melakukan tugas
rondaan di Pulau Mabul lapan bulan lalu, sebelum diselamatkan oleh
pasukan keselamatan Malaysia di Indanan, Filipina pada Jumaat.
Abang sulungnya Zakriah berkata, dia berharap dapat bertemu dengan
adiknya itu petang Sabtu lalu, namun kecewa apabila diberitahu Zakia
tidak boleh pulang ke rumah kerana belum menerima ‘lampu hijau’ untuk
berbuat demikian.
“Mereka memberitahu kami bahawa Zakia dibawa Ibu Pejabat Polis Bukit
Aman untuk beberapa ‘kerja rasmi’ sebelum boleh pulang ke rumah,”
katanya.
Sementara itu, Sharifah berkata, walaupun belum berpeluang untuk
berjumpa sepenuhnya, dia tetap gembira apabila melihat suaminya itu
berada dalam keadaan sihat dan selamat pulang ke Sabah.
“Saya harap pihak polis dapat menyelesaikan apa sahaja dengan cepat agar dia boleh pulang ke rumah secepat mungkin,” ujarnya. - mStar