"Saya telefon (Mufti Perlis, Datuk) Dr Asri Zainul Abidin untuk
menemukan beliau dengan Datuk Kazim Elias dalam satu pentas, beliau
dengan pantas terus bersetuju."
Demikian antara 'imbasan kembali' bibit pertemuan semula Kazim dan Asri
selepas dilaporkan berlaku pergeseran sebelum ini sepertimana yang
'dicuit' oleh moderator program Pentas Dakwah, Dr Asyraf Wajdi Dusuki
menerusi siaran TV Al-Hijrah yang berlangsung malam ini.
Jelas Asyraf, 'sapaan' itu diibaratkan sebagai satu teladan yang sangat baik.
"Ini satu suri teladan apabila pertelagahan boleh terus berdamai, inilah pengajaran yang baik," katanya.
Sementara itu, Asri ketika ditanya mengenai perkara tersebut, berkata:
"...sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat kepada penyelesian
berdasarkan anjuran agama kita (Islam) kerana panduan Islamlah yang
dapat meleraikan segala kekusutan.
"Kita kembali kepada Islam, lihat teladan orang-orang soleh terdahulu dalam menyeleraikan perbezaan pendapat.
"Apa yang penting kepentingan agama mengatasi kepentingan diri," jelasnya.
Dalam pada itu, Kazim pula berkata, perbezaan pendapat haruslah diurus
dengan baik, bagi mengelak ia bertukar menjadi 'tragedi'.
"Apabila kepelbagaian tidak dihormati jadi pergaduhan, sampai tak boleh berbaik, ini kita tak nak.
"Prinsip saya kalau kamu ada masalah terus rujuk ALLAH dan Rasul," jelasnya.
Terdahulu, kedua-dua tokoh tersebut dilaporkan bertemu dan berbincang
dalam suasana santai di Kangar, Perlis setelah timbul perbezaan
pendapat antara mereka sebelum ini. -Sinar Harian