Dewan Ulama PAS Bongkar Sifat Sebenar Kempen Jatuh Abdul Hadi



KUALA LUMPUR – PAS sedang berhadapan kumpulan yang merancang kempen “saya semakin benci ulama PAS” bagi melobi para perwakilan Muktamar PAS Pusat yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mendedahkan, kumpulan terbabit mahu memastikan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang dipilih pada muktamar itu di bawah kawalan mereka.

“Rancangan kumpulan ini supaya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelihatan lemah dan tidak pandai.

“Sekarang (mereka) mula didendang irama simpati, islah, akhlak walau kita tahu permainan mereka tidak pernah berisi simpati, jauh dari etika dan akhlak, perosak. Bukan baru tetapi sejak bertahun-tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd. Khairuddin meminta ahli parti memastikan AJK PAS Pusat yang dipilih dalam muktamar itu mereka yang mampu membantu Abdul Hadi selaku Presiden PAS membawa parti tersebut terus ke hadapan.

Beliau menegaskan, pertembungan yang berpunca daripada kumpulan itu bukan antara golongan profesional melawan ulama kerana Abdul Hadi selama ini didokong oleh golongan profesional.

Bagaimanapun, katanya, wujud jua golongan professional yang mahu PAS sentiasa `duduk’ di belakang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP.

Beliau turut meminta ahli PAS berhati-hati dengan cadangan supaya Abdul Hadi dilantik sebagai Musyidul Am kerana pada akhirnya sebarang pandangan Abdul Hadi tidak akan dipatuhi.

“Saya tak menjangkakan ada cabaran yang serius untuk kerusi Presiden PAS. Mungkin ada. Tapi besar kemungkinan gagal.

“Majlis Syura Ulama akan mengawal perkara dasar agar tidak berlaku sebarang kegelinciran dari sumber hukum utama yang dijunjung perlembagaan PAS iaitu Al-Quran, Hadis/Sunnah, Ijma’ dan Qias.

“Mempunyai seorang Ketua atau Presiden yang faqih agama, murshid, murobbi, mua’llim adalah idaman semua jemaah perjuangan Islam,” katanya.

Mohd. Khairuddin turut menyelar Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) kerana mempunyai tajaan besar untuk melakukan jelajah ke seluruh negara bagi memburuk-burukkan kepimpinan ulama dalam parti.