Dewan Ulama Tegas Tiada Lagi Alasan Syarie Untuk PAS Bersama DAP

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS menegaskan bahawa tidak lagi mempunyai alasan syarie untuk terus menjalin kerjasama politik dengan parti DAP kerana terbukti menentang undang-undang Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, kerjasama itu juga tiada lagi berikutan tindakan DAP terus memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sejak isu Menteri Besar Selangor dan `Kajang Move’ DAP secara bersiri melancarkan serangan provokatif terhadap peribadi Presiden PAS.

“Tuduhan khianat, membelakangi pakatan rakyat dan seumpamanya meniti di bibir pimpinan DAP. Terakhirnya pula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Khairuddin, sikap DAP menentang hukum Allah yang merujuk pada usaha perlaksanaan undang-undang hudud adalah yang paling ketara memperlihatkan wajah sebenar parti itu.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam.

Menurutnya, kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam.

“Begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihanraya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam,” katanya.

Beliau turut mengecam DAP menuduh PAS sebagai pengkhianat sedangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tanpa persetujuan PAS. -Kedahnews.com