DO Pendang Turut Terima Ijazah Sarjana Di Konvokesyen KUIN Ke-16


KUALA KETIL - Pegawai Daerah Pendang, Abdul Rahman Ismail, 56, hari ini memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang pengajaran al-Quran dari Kolej Universiti Insaniah (Kuin) pada konvokesyen ke-16 kolej berkenaan.

Seramai 87 orang menerima ijazah pada sesi pertama.
 
Beliau berkata, beliau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran bagi menambah pengetahuan.
  
"Pembelajaran sepanjang waktu, itu yang dituntut lebih-lebih lagi bila pegawai kerajaan. Kita mesti mempunyai pengetahuan yang lebih, kalau tidak susah kita hendak mentadbir," katanya kepada pemberita selepas konvokesyen tersebut.
  
Bapa kepada empat orang anak ini berkata, cabaran utama yang dihadapinya ialah untuk membahagikan waktu antara kerjaya dan pembelajaran.
  
"Kadang-kadang kalau berlaku bencana, banjir, kebakaran dan ribut taufan, saya terpaksa juga datang ke kelas," katanya.
 ‎
Sementara itu bagi penerima anugerah tertinggi Imtiyaz Tuanku Canselor, Nuh Zuleffendi, 29, sama sekali tidak menyangka akan menerima anugerah itu.
  
Beliau yang dilahirkan di Arkansas, Amerika Syarikat menerima Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, memegang prinsip sentiasa fokus apabila melakukan sesuatu perkara.
  
"Masa belajar kita belajar, pada masa sama bila kita tunjuk ajar pada kawan, kita akan lebih mudah faham, selain doa mak dan ayah," katanya yang juga sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Kewangan Islam di International Centre for Education in Islamic Finance (Incief) di Kuala Lumpur.
  
Konvokesyen turut menyaksikan Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin diterima Ummi Norhasrina Ishak; Anugerah Imtiyaz Yayasan Sultanah Bahiyah oleh Nor Hazlizam Ibrahim manakala Anugerah Imtiyaz Rektor diterima Fadhil Anwar Mohd Sani.
 
Sejumlah 1,338 pelajar menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. - Bernama