Dr Haron Din Diumum Ganti Allahyarham Nik Aziz, Harapan "Pihak Itu" Hancur Berkecai...

Sebelum ini dipercayai terdapat cubaan melobi daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerusi Mursyidul Am PAS yang kosong berikutan kematian Datuk Nik Aziz Nik Mat (TGNA) digantikan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Matematiknya mudah – bila perkara ini berlaku maka Haji Hadi yang kini kurang disenangi beberapa pihak baik dalam parti sendiri mahu pun komponen PR, akan mengosongkan kerusi Presiden PAS sekaligus jawatan itu dapat dipertandingkan.

Boleh tahan juga politik ‘ustaz-ustaz’ dalam PAS ini kan…

Bagaimanapun helah itu mungkin dapat dihidu apabila Majlis Syura Ulama dalam mesyuarat yang diadakan pada 8 Mac lalu di Ibu Pejabat PAS, sebulat suara memutuskan untuk melantik Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am yang baharu.

Dr Haron sebelum ini merupakan timbalan kepada TGNA yang meninggal dunia, 13 Februari lalu.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan turut memaklumkan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yacob dipilih menggantikan tempat Dr Haron sebelum ini selaku Timbalan Mursyidul Am.

“Perlembagaan PAS menyatakan jawatan Mursyidul Am boleh dipilih oleh 15 anggota Majlis Syura Ulama (MSU) untuk tempoh lima tahun,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen.

Tambahnya, jawatan Mursyidul Am tidak terikat dengan penggal muktamar sepertimana Jawatankuasa PAS Pusat. 

Sumber: agendadaily.com