Dua Ekor Anak Singa Comel Jadi Anak Angkat Pelarian Palestin...

ANAK singa ini dibeli dari Zoo Rafah.
Sepanjang hidupnya, pelarian Palestin ini bercita-cita untuk memelihara singa sebagai haiwan kesayangan.

Akhirnya, impian Saad al-Jamal tercapai apabila dia membeli dua anak si­nga dan menjadikan haiwan itu sebagai anak angkatnya.

Saad membeli kedua-dua anak singa berusia dua bulan itu dari Zoo Rafah yang terpaksa menjual haiwan berkenaan kerana mengalami masalah dana.

Dia merancang memelihara anak singa itu di rumahnya di kem pelarian Al-Shabora di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.

Anak singa jantan dan betina itu diberi nama Alex dan Mona.

Saad sedar dia bakal berdepan tugas yang sukar untuk memelihara anak singa itu terutama selera makan haiwan itu yang akan semakin bertambah.

Walaupun enggan mendedahkan harga kedua-dua anak singa itu, dia akui ditawarkan harga AS$9,000 (RM33,400) oleh seseorang untuk membelinya.

Kedua-dua anak singa itu sudah tinggal bersama keluarga Saad sejak 10 minggu lalu.

SAAD bersama kedua-dua anak singa peliharaannya sambil diperhatikan cucunya.
Saad menjaga haiwan itu seperti anaknya sendiri di sebuah flat tiga bilik miliknya dan kehidupan Saad sekeluarga kelihatan tenang.

Hampir setiap hari anak dan cucu Saad bermain dengan anak singa berkenaan seperti haiwan kesayangan yang lain.

Saad sering memeluk anak singa itu ketika membawanya keluar rumah dan haiwan berkenaan akan meronta kerana mahu dilepaskan.

Ibu bapa anak singa berkenaan dipercayai diseludup masuk ke Gaza melalui terowong bawah tanah di sempadan Mesir kira-kira tiga tahun lalu.

Membesarkan kedua-dua anak singa itu memerlukan kos yang tinggi dan Saad bercadang menggunakan haiwan itu untuk mendapatkan wang.

Dia merancang menyewakan anak singa berkenaan kepada taman, restoran dan pusat peranginan tepi pantai sebaik sahaja mereka membesar beberapa bulan lagi.

Kedua-dua anak singa itu diberi makan setengah kilogram daging sehari tetapi selera makan mereka akan bertambah apabila semakin membesar kelak.

Buat masa ini, anak singa itu masih terlalu kecil dan belum mampu melakukan apa-apa yang membahayakan.

Namun sebaik sahaja mencapai umur 15 bulan, gigi dewasa haiwan itu akan tumbuh dan mempunyai keupayaan mencarik daging.

Pada waktu itu, kehidupan Saad sekeluarga mungkin tidak tenang lagi.

CUCU Saad bermain dengan haiwan peliharaan datuk mereka.





















Sumber: myMetro