Dua Lelaki Di Padang Terap Miliki Pump Gun, Gari Ditahan Polis

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof (dua,kiri) dan Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Kedah (IPK) ACP Nashir Ya (kiri) melihat senjata api yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Dua lelaki ditahan polis dalam serbuan berasingan kerana memiliki selaras senapang dan sejumlah peluru di sebuah stesen minyak dan rumah di Padang Terap awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata tangkapan dua lelaki tempatan berusia 30-an itu dibuat selepas menerima laporan daripada seorang wanita yang juga peniaga kedai makanan di Padang Terap yang membuat laporan polis 1 pagi semalam.
Beliau berkata, wanita berusia 40-an itu membuat laporan polis selepas seorang daripada suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan kira-kira 9 malam pada 10 Mac lalu di kedai makanan tersebut.
"Suspek yang menggunakan sepucuk pistol melepaskan tembakan pada telefon bimbit milik wanita itu yang dipercayai teman wanita suspek yang dicampak ke tanah. Ia bermotifkan cemburu dan tembakan itu tidak mencederakan wanita tersebut.
"Suspek pertama yang melepaskan tembakan di kedai makanan, kita tahan di sebuah stesen minyak di Padang Terap pada 3.30 pagi semalam dan hasil pemeriksaan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda itu polis menemui sebutir peluru dan dua pasang gari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Zakaria berkata suspek kedua yang mempunyai kaitan dengan suspek pertama ditahan 5.30 pagi semalam di sebuah rumah kampung di Padang Terap dan menemui selaras senapang jenis pump gun dan sejumlah peluru pelbagai jenis dalam rumah tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen senjata api dan peluru serta senjata yang mereka miliki dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand.
"Kita juga sedang mengesan sepucuk pistol yang digunakan suspek yang melepaskan beberapa das tembakan. Kita juga sedang siasat kegiatan jenayah lain seperti menyamar sebagai polis berikutan penemuan senjata api dan dua pasang gari," katanya.
Katanya, dua suspek yang bekerja sendiri itu ditahan reman bermula semalam hingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan.
Zakaria berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 jika sabit kesalahan penjara selama 14 tahun dan sebatan tidak kurang dari enam sebatan.
Katanya bagi pemilikan peluru, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan, penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Nasihat saya kepada masyarakat setempat sekiranya mempunyai maklumat mengenai penyeludupan atau pemilikan senjata api tanpa lesen maklumkan kepada polis demi keselamatan orang ramai," katanya. - Bernama