KUALA LUMPUR – Polis mengesan dua individu yang disyaki menggunakan
alasan hendak mengerjakan ibadah umrah sebelum menyertai kumpulan
militan IS.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka
menggunakan agensi umrah bertujuan memudahkan pergerakan serta mengaburi
pihak berkuasa.
“Setakat ini kami kesan dua kes yang mana mereka gunakan alasan untuk mengerjakan umrah tetapi hakikatnya untuk menyertai IS.
“Mereka ini pergi bukan untuk tujuan agama dan berjihad pun…bayangkan kalau ibadah umrah mereka boleh permainkan,” katanya.
Ditemui pemberita selepas menyampaikan surat penghargaan kepada
pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah polis terbaik Op
Selamat 6/2015 bersempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini, Khalid
bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti individu
berkenaan.
Khalid seterusnya berkata polis setakat ini percaya agensi umrah
berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan penglibatan individu terbabit
dalam IS.
Menurutnya, perkara itu perlu diatasi secara holistik termasuk melalui aspek perundangan.
Beliau berkata polis mengenal pasti lebih 50 rakyat Malaysia yang
berada di Syria menyertai IS manakala lebih 70 lagi ditahan termasuk
mereka yang cuba meninggalkan negara ini dan yang telah kembali semula
ke tanah air.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin baru-baru ini
mendedahkan terdapat individu yang merancang menyertai IS melalui ibadah
umrah, dan maklumat itu diperoleh hasil perkongsian maklumat dengan
negara-negara tertentu termasuk anggota Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC).
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis akan memanggil Timbalan
Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berhubung kenyataan berbaur
perkauman di laman sosial.
“Saya dimaklumkan itu adalah Twitter lama, tetapi kami tetap akan
siasat sama ada itu tweet lama atau baharu. Kami akan panggil dia dan
siasat dahulu,” katanya.
Khalid berkata pemimpin masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum
membuat kenyataan khususnya di laman sosial memandangkan mereka
mempunyai pengikut.
“Mereka ini ada pengikut jadi kenalah lebih berhati-hati… bimbang
kalau-kalau berlaku kekecohan sekiranya ia disalah tafsir oleh
pengikut,” katanya. - BERNAMA