Gurun – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka
merempuh sisi kiri sebuah treler sebelum kedua-dua mereka terperosok di
bawah treler berkenaan di hadapan Taman Seri Utama, Jalan Raya Gurun, di
sini, malam semalam.
Dalam kejadian 8.15 malam, mangsa, S Nagarajan, 19, yang menunggang motosikal Modenas Kriss
bersama rakannya, A Robin Roy, 17, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Jerai,
Gurun ke majlis perasmian gereja di Jalan Kolam Air, Sungai Petani.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tanpa muatan itu yang
datang dari arah Sungai Petani telah membelok ke simpang kanan untuk
meletakkan trelernya di situ.
Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal
mengelak lalu merempuh sisi kiri treler terbabit menyebabkan motosikal
mereka terperosok di bawah treler menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit
di bawah tayar treler berkenaan.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda
ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke
Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat. – myMetro