Ekonomi Negara Teruh Kukuh Berkembang - Zeti Akhtar


KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjur berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, dipacu oleh permintaan dalam negeri dan perbelanjaan sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan dijangka berterusan dan menyeluruh membabitkan semua sektor ekonomi seperti perkhidmatan, perkilangan dan pembinaan yang mencakupi lebih dua pertiga daripada ekonomi.

Beliau berkata, peralihan dalam aktiviti ekonomi di bawah penstrukturan semula mewujudkan struktur ekonomi yang lebih pelbagai dan pasaran serta sistem kewangan berdaya tahan yang dibangunkan dengan baik dan menyokong pertumbuhan.

"Selepas lima tahun berturut-turut mencatat pertumbuhan melebihi kadar pertumbuhan purata, penggunaan swasta diunjur berkembang pada kadar 6 peratus tahun ini.

"Sementara pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan perolehan lebih rendah dalam sektor berkaitan komoditi dijangka memberi kesan kepada perbelanjaan. 

"Ini akan diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan boleh guna isi rumah yang lebih tinggi berikutan harga bahan api yang rendah, keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan langkah kerajaan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Tahunan 2014 BNM di sini hari ini. Laporan itu terbahagi kepada dua iaitu Laporan Tahunan dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2014.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, pelaburan swasta yang telah mencatat pertumbuhan dua angka selama tiga tahun, dijangka berkembang pada kadar 9 peratus, didorong oleh pelaburan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Pada tahun lalu sejumlah RM71.9 bilion pelaburan swasta telah diluluskan dengan pelaburan berasaskan domestik sebanyak 64 peratus dan berasaskan eksport pula 36 peratus, berbanding RM52.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kedudukan fiskal negara dijangka terurus disebabkan pengurangan kebergantungan kepada hasil minyak, selain disokong oleh pelaksanaan GST dan langkah rasionalisasi perbelanjaan yang merangkumi pembaharuan subsidi bahan api dan pengecilan perbelanjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar inflasi pada tahun ini juga diunjurkan lebih rendah antara 2 hingga 3 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2014.

“Prospek inflasi yang lebih rendah dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan juga akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah pada tahun ini. Malaysia juga mempunyai keupayaan untuk mendepani aliran modal disebabkan sistem kewangan dan pasaran modal yang kukuh, instrumen dasar monetari yang meluas dan kadar pertukaran yang fleksibel,” katanya. -Utusan