Eksklusif: AJK PAS Kawasan Di Kedah Isytihar "Perang" Terhadap PasMa

Baru-baru ini Kedahnews.com diberi kesempatan untuk menemubual seorang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan di Kedah berhubung isu-isu semasa membabitkan kemelut dalaman PAS yang hangat diperkata sejak kebelakangan ini.

Menjelang pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan PAS bagi sesi 2015/2017 yang bermula pada 1 Mac ini, dijangka ia akan bertambah panas sama ada mengenai isu dalaman parti itu mahupun isu-isu membabitkan kedudukannya di dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, AJK PAS Kawasan berkenaan memohon agar kami tidak menyiarkan namanya ekoran beliau telah mengumumkan akan turut bertanding di dalam pemilihan PAS tersebut. Namun difahamkan bahawa beliau hanya bertanding untuk jawatan yang sama sahaja setelah menjadi AJK secara lantikan pada musim lalu.

Justeru itu, kami memilih nama "Ahmad" (bukan nama sebenar) bagi merujuk pada AJK PAS Kawasan berkenaan.

PAS Kedah dulu berbeza dengan PAS Kedah sekarang

Memulakan bicara, AJK PAS Kawasan berkenaan menegaskan bahawa PAS di Kedah perlu kembali ke perjuangan asal parti itu. Kata beliau yang merupakan anak didik Allahyarham Ustaz Fadhil Noor, perjuangan pemimpin PAS Kedah di zaman ini sangat berbeza dengan perjuangan di zaman bekas Presiden itu.

Kata Ahmad, beberapa pemimpin PAS di Kedah sejak kebelakangan ini semakin melupakan ruh Islam yang disemai di dalam PAS sejak zaman berzaman sejak tradisi parti itu dilahirkan. Misalnya, program tamrin, tarbiyah, qiyamullail dan sebagainya hampir hilang di dalam PAS di Kedah. Tidak seperti di zaman beliau muda remaja.

Justeru itu katanya, tidak hairanlah jika melihat anak-anak muda yang menyokong PAS terjebak dengan perkara kurang berfaedah seperti merempit sambil membawa bendera parti tanpa menjiwai semangat perjuangan Islam. "Ruh Islam seolah hilang", katanya.

Katanya, program-program sebegitu adalah sangat penting bagi menyemai rasa cinta kepada perjuangan Islam sebenar berbanding perjuangan politik yang bertunjangkan kuasa, jawatan, kepentingan diri dan sebagainya sebagaimana yang berlaku sekarang.

PAS vs PasMa

Ahmad turut mendakwa bahawa kewujudan PasMa sebagai sebuah NGO turut menyukarkan lagi keadaan di dalam PAS. Beliau menentang keras dan mengisytihar akan memerangi NGO berkenaan sedaya mungkin selagi bersikap seolah "talam bermuka-muka" merosakkan jemaah PAS dari dalam.
Beliau menyindir Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang mendakwa kononnya NGO berkenaan lahir untuk mengeratkan hubungan antara PAS, DAP dan PKR. Ahmad menegaskan bahawa tindakan dan gerakan PasMa langsung tidak mengeratkan gabungan ketiga-tiga parti itu, malah lebih buruk dari itu.

Ahmad turut mempersoal bahawa sekiranya PasMa mahu mengeratkan hubungan antara parti pembangkang, mengapa NGO itu tidak meredakan ketegangan di antara PAS dengan DAP dan PKR, soalnya. Malah pemimpin NGO itu dilihat aktif menghentam dan memburukkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah Ahmad turut menegaskan bahawa beliau positif bahawa PasMa merupakan alat yang berfungsi sebagai jentera untuk menjatuhkan Abdul Hadi bagi menyokong Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, untuk merampas kedudukan nombor satu di dalam PAS pada pemilihan parti bermula 1 Mac ini.

Selain itu, status beberapa pemimpin PAS di Kedah yang seolah "playsafe" turut menyebabkan imej parti itu di Kedah tercemar memandangkan tiada siapa yang sanggup vokal menentang PasMa yang berakar umbi di negeri tersebut.

Tegasnya, seorang pemimpin pro-ulama perlu tampil menentang gerakan PasMa yang diketuai Phahrolrazi yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah supaya ahli dan para penyokong PAS tidak terpengaruh dengan dakyah NGO itu sebagaimana yang disaran oleh Dewan Ulama PAS sebelum ini.

Pada pandangan Ahmad, gejala cuba menjatuhkan tokoh ulama seperti Abdul Hadi mungkin berlaku apabila pemimpin PAS berkenaan tidak memiliki "ruh" perjuangan sebenar parti yang memperjuang Islam, bukan politik.

Perjuangan PAS sebenar

Katanya, sekiranya memahami perjuangan sebenar di dalam PAS, perjuangan sebenar parti itu adalah mengejar kemenangan di akhirat kelak dan tindakan meletakkan kemenangan politik sebagai lebih utama oleh pemimpin PAS adalah salah sama sekali.

"Pada saya, perjuangan PAS ni adalah perjuangan kami di akhirat kelak. Bukan kemenangan politik dunia yang dicari sebenarnya. Kalau menang politik pun hanya sebagai bonus sahaja. Perjuangan PAS adalah mencari redha Allah, bukan gilaka kuasa, jawatan atau nak tawan Putrajaya pun," tegasnya mengenai prinsip perjuangan asal PAS.

PAS di dalam Pakatan Rakyat

Ahmad turut menjelaskan bahawa PAS semakin rosak sejak bergabung di dalam Pakatan Rakyat sejak tahun 2008 lagi. Beliau menegaskan bahawa sejak itulah parti itu berjuang demi kuasa politik dan meletakkan perjuangan Islam di tempat kedua.

Lebih menyedihkan katanya, PAS begitu banyak berkorban di dalam Pakatan Rakyat sehingga boleh dikatakan hampir tiada langsung dasar perjuangan asal parti itu yang termaktub di dalam buku jingga yang dimonopoli dasar DAP dan PKR.

Mengulas mengenai desakan pihak yang mahu PAS keluar dari Pakatan Rakyat, Ahmad secara dasarnya sangat bersetuju dengan cadangan tersebut ekoran kerosakan demi kerosakan berlaku sejak partinya bergabung bersama DAP dan PKR.

Namun menurut AJK PAS Kawasan itu, sekiranya PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan kembali "solo", tidak mustahil akan timbul persepsi bahawa parti itu tidak mampu bekersama dalam hal politik dengan parti lain. Tegasnya, PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan Islam diimarahkan sewajarnya, bukan dinafikan seperti di dalam Pakatan Rakyat.

Mahfuz Sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah

Berhubung prestasi Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang mengepalai parti itu sejak pemergian Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak, Ahmad menegaskan bahawa beliau telah gagal menunaikan amanah yang diberi oleh PAS Pusat. Malah katanya, berkemungkinan besar nanti AJK PAS Kawasan itu akan mengusulkan supaya Pesuruhjaya PAS Kedah itu ditukar dengan individu yang lebih sesuai.

Ahmad menjelaskan bahawa ketika Mahfuz dilantik menggantikan Allahyarham, beliau telah menghantar sms memohon Pesuruhjaya PAS Kedah itu merapatkan jurang antara para pemimpin, ahli dan penyokong PAS di negeri itu yang bergaduh serta berpecah belah ketika musim Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Namun malang katanya, Mahfuz bukan saja tidak menjawab walau sepatah pun pesanan ringkas tersebut, malah genap setahun selepas itu Ahmad telah menghantar sms sekali lagi kepada Pesuruhjaya PAS Kedah itu dengan menegaskan bahawa beliau telah gagal merapatkan ukhuwah di kalangan warga PAS di Kedah.

Bertanding sekadar AJK PAS Kawasan untuk kembalikan perjuangan sebenar

Mengulas mengenai tindakan dirinya menawarkan diri bertanding sebagai AJK PAS Kawasan kali ini (beliau dilantik pada sesi lalu), Ahmad menegaskan bahawa beliau rasa terpanggil untuk membetulkan PAS secara asas dari dalam memandangkan struktur pentabiran dan pengurusan di PAS Kawasannya sangat "menyedihkan".

Kata Ahmad, PAS di kawasannya tidak memiliki sistem pengkalan data yang sempurna di mana mereka tidak tahu data-data berkenaan ahli serta maklumat-maklumat berkaitan selain gagal memiliki sistem fail yang tersusun dan lengkap.

Selain itu, beliau mahu mengembalikan jatidiri pada para ahli dan penyokong PAS di kawasan berkenaan supaya kembali kepada perjuangan parti dan bukannya berpaksikan kepada perjuangan politik semata-mata di mana dalam perangkaannya perlu diimarahkan program-program tradisi PAS seperti usrah, tamrin, tarbiyah dan ibadah, khususnya bagi golongan muda yang baru "kenal" parti tersebut.

Mengakhiri temubual dengan Utaranews.com, AJK PAS Kawasan dari Kedah itu menyeru kepada semua ahli PAS di seluruh negara supaya mengembalikan "ruh" perjuangan asal parti itu dan menentang sebarang usaha merosakkan PAS dari dalam, serta mengekalkan kepimpinan ulama sedaya mungkin.

Tegasnya, PAS tidak perlukan "jebon", tapi para ulama yang mengimarahkan Islam di bumi Malaysia. -Kedahnews.com