Empat "Geng Pegawai Agama" Peras Ugut Kekasih Diberkas!

Gambar Hiasan
Bangi - Empat ahli geng peras ugut berlagak tidak ubah seperti pegawai jabatan agama Islam apabila menahan sepasang kekasih sebelum mengugut mangsa membayar wang ‘bebas’ diri.

Dalam kejadian jam 2 pagi Khamis lalu, mangsa berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan suspek ketika sedang bersiar-siar di kawasan tasik di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa bersama dua lagi rakannya sempat pergi ke sebuah restoran makanan segera terletak berhampiran tasik itu.

Menurutnya, mangsa yang kemudian berjalan kaki menuju ke tasik berkenaan bagaimanapun ditahan dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

“Mangsa bagaimanapun sempat menghubungi seorang rakannya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum dua rakannya bergegas ke lokasi kejadian.

“Keadaan bertambah rumit apabila dua rakan mangsa itu turut ditahan suspek dan mengugut semua mangsa membayar wang RM300 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa akhirnya bersetuju membayar suspek wang tunai RM1,200.

“Namun, dua lagi suspek menaiki sebuah motosikal muncul sekitar jam 3 pagi di lokasi itu sebelum meminta tambahan sebanyak RM300.

“Seorang mangsa membuat pengeluaran wang tunai sebanyak RM1,200 di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum menyerahkannya kepada suspek,” katanya.

Ab Rashid berkata, mangsa yang diperas ugut kemudian bertindak membuat laporan polis.

“Hasil maklumat itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki bekerja sebagai mekanik di Bandar Baru Bangi di sini, Jumaat lalu.

“Suspek berusia 26 tahun ini mengaku terbabit dalam kes peras ugut itu berkenaan. Kami kini masih mengesan tiga lagi rakan suspek.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut,” katanya. -myMetro