Erti Kaya Bagi Seorang Islam...

Gambar Hiasan
HARTA dan kekayaan tidak dapat dinafikan bahawa ia kesukaan manusia sejak zaman berzaman. Dengan harta, banyak manfaat yang boleh diperoleh baik dalam urusan keduniaan mahupun keagamaan. Begitu pun, kerosakan dan keburukan daripada harta juga besar jika tidak digunakan dan dikawal dengan baik.

Islam agama yang cukup sempurna hingga syariat yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW mengupas lengkap tentang harta dan bagaimana berinteraksi dengannya.

Agama Islam tidak pernah melarang hambanya daripada mencari hingga mengumpulkan kekayaan, tetapi Islam memerintahkan agar kekayaan tersebut digunakan dengan sebaiknya dan diagihkan sebahagian daripadanya kepada yang memerlukan dan berhak ke atasnya.

Pernah suatu ketika sahabat Nabi SAW bernama Sa’ad bin Abi Waqqas menderita sakit dan ingin berwasiat kepada Rasulullah SAW untuk menyerahkan seluruh hartanya kepada agama selepas kematiannya.

Lalu Rasulullah SAW melarang Sa’ad daripada berbuat demikian kerana dia masih mempunyai anak. Lalu Baginda bersabda: 
Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan mengemis kepada manusia dengan menadah tangan mereka. (riwayat al-Bukhari)
Bertebaranlah

Sebahagian umat Islam tersalah faham dengan konsep berserah diri dan bertawakal kepada Allah SWT, terutamanya dalam urusan rezeki mereka.

Ada yang tidak mahu bekerja dan hanya mengharapkan rezeki datang tiba-tiba tanpa bersusah-payah dan berusaha untuk bekerja.

Yang sepatutnya bagi seorang Muslim ialah berusaha sedaya mungkin untuk mencari rezeki yang halal dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya. Selepas itu barulah berdoa agar dipermudahkan rezeki dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Tawakal sepatutnya di posisi akhir bukan di awalan tanpa perlu bekerja.

Dalam situasi lain pula, usaha mencari rezeki sudah dilakukan namun caranya pula tidak kena. Perbuatan menadah tangan meminta-minta daripada orang lain menjadi seperti sebuah pekerjaan bagi sebahagian orang.

Hakikatnya Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk keluar menerokai muka bumi mencari rezeki yang halal dan baik bukannya dengan cara meminta sedekah sedemikian.

Allah SWT berfirman: 
Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung. (al-Jumu’ah: 10)
Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya bekerja untuk mencari rezeki yang halal dan melarang perbuatan meminta-minta. Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud: 
Seseorang daripada kamu mengambil talinya lalu pergi mencari kayu api dan memikulnya sendiri lalu menjualnya sehingga Allah menjaganya daripada meminta-minta, itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada diberi atau tidak diberi. (riwayat al-Bukhari)
Hari ini kita melihat sebahagian orang menjadikan perbuatan meminta sedekah sebagai jalan mudah untuk meraih wang yang banyak dalam masa yang cepat. Lebih malang lagi apabila mereka yang terlibat menggunakan nama agama untuk meraih keuntungan. Malah senario kanak-kanak yang dihantar ke kawasan-kawasan awam dan disuruh memungut wang atas nama agama banyak kelihatan.

Kaya hati

Bagi yang mencari rezeki dengan cara yang halal pula, janganlah kita lupa hak-hak yang perlu dikeluarkan daripada rezeki tersebut. Zakat dan sedekah hendaklah dikeluarkan seiring dengan keghairahan kita mencari harta.

Harta yang banyak tidak menjamin kebahagiaan andai ia tidak berkat kerana manusia sememangnya tidak pernah rasa cukup dan puas sekalipun hartanya banyak. Kata Nabi SAW yang bermaksud: 
Seandainya manusia diberi sebuah lembah berisi penuh dengan emas tentu dia mahukan lembah yang kedua seperti itu. Seandainya diberikan lembah yang kedua pula maka dia masih mahukan lembah yang ketika (berisi harta). Perut manusia tidak akan penuh melainkan dengan tanah. Allah menerima taubat bagi sesiapa yang bertaubat. (riwayat al-Bukhari)
Hendaklah diingat bahawa kekayaan yang sebenar ialah kekayaan di jiwa berupa hati yang bersih, diri yang tenang, akhlak yang baik dan rezeki yang berkat. Itulah harta yang bernilai yang perlu kita cari bersungguh-sungguh sebagaimana kata Nabi SAW: 
Kaya itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kaya itu ialah kekayaan hati. (riwayat Muslim)





Sumber: Utusan