Fitnah: Polis Siasat Malaysiakini - Datuk Law Hong Soon

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon
KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap fitnah yang dilemparkan ke atas pihak berkuasa itu menerusi satu laporan portal berita Malaysiakini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, portal berita itu melaporkan dakwaan kononnya polis mengiringi konvoi Pemuda MCA semasa protes di Ibu Pejabat DAP Pusat di sini pada 20 Mac lalu.

Menurutnya, dakwaan dari portal yang berunsur fitnah dan boleh mengelirukan serta mendatangkan kegentaran kepada orang awam sekaligus menganggu ketenteraman awam.

“Kehadiran anggota polis dalam perhimpunan itu untuk tugas jaga keamanan atas dasar kawalan ketenteraman awam seperti kawalan ke atas perhimpunan lain dan dilakukan di bawah arahan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius perkara ini dan laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai Setapak kerana itu tidak benar dan mempunyai unsur fitnah ke atas polis. Kertas siasatan telah dibuat berkaitan kes tersebut mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng mengkritik pihak polis kerana mendakwa motosikal peronda polis dilihat mengiringi konvoi Pemuda MCA untuk mengadakan protes di Ibu Pejabat DAP berhubung enakman hudud.

Hong Soon berkata, orang ramai yang hendak mengetahui tugas-tugas polis di tempat awam boleh berhubung dengan ketua polis daerah dan tidak membuat andaian yang boleh mengelirukan.

“Mereka yang membuuat kenyataan demikian adalah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah, aib dan mengusarkan yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun,” katanya.

Portal berkenaan sering dikaitkan dengan parti-parti pembangkang, khususnya DAP dan PKR, serta selalu menyiarkan laporan yang pro-pembangkang sehingga pernah beberapa kali disaman ramai pihak. -Kedahnews.com