Gambar Doktor Sedih Gagal Selamat Pesakit Viral Di Internet


ALOR SETAR – Sayu hati memandang gambar di atas yang memaparkan seorang doktor tidak dapat menahan kesedihannya atas kematian seorang pesakit yang baru berusia 19 tahun.

Gambar tersebut dirakamkan seorang pekerja teknikal perubatan di unit kecemasan sebuah hospital di selatan California, Amerika Syarikat ini menjadi viral di seluruh dunia selepas ia dikongsi di laman sosial, Reddit.

Dalam imej ini, doktor terbabit dilihat menundukkan badan dengan sebelah tangan memegang dinding, tanda beliau amat bersedih selepas gagal menyelamatkan pesakit malang yang menemui ajal itu.

“Lelaki ini tidak dapat menyelamatkan pesakitnya. Meskipun ia merupakan perkara biasa dalam bidang perubatan dan kerja kami, namun baginya ia merupakan satu perkara menyakitkan.

“Kebiasaannya kami kehilangan pesakit akibat usia tua atau kerana sakit atau gabungan kedua-duanya tetapi dalam kes ini, doktor tersebut kehilangan pesakit yang masih muda, berusia 19 tahun,’’ kata Nick yang menggunakan nama NickMoore911 di laman sosial.

Menurutnya, selepas beberapa minit bersedih, doktor tersebut kembali ke unit kecemasan hospital berkenaan untuk meneruskan kerjanya.

Nick mengaku bahawa dia telah mendapat kebenaran untuk memuat naik gambar itu di Reddit dan berbuat demikian kerana percaya kerjaya doktor merupakan profesion yang berdepan dengan hidup dan mati. -Kedahnews.com