GAMBAR: Minat Seni "Bangkai" Haiwan?

Kepala burung merpati dilekat pada bulu tangkis dan beberapa ekor tikus dijadikan perhiasan meja - antara hasil seni pelik yang semakin popular di Belanda.

Kreativiti menggunakan bahagian badan haiwan yang diawet kini menjadi sebahagian hasil karya sekumpulan artis muda negara berkenaan.

Seorang artis seni, Noortje Zijlstra, 28, berkata, karya yang dihasilkannya bukan hanya mahu mengejutkan orang ramai tetapi menunjukkan apa yang dimakan oleh mereka.

"Makanan sering menjadi asas kepada karya saya. Saya menggunakan haiwan yang sudah mati kerana mahu orang ramai berfikir mengenai makanan yang mereka masukkan ke dalam mulut.

"Konsep karya saya biasanya berkaitan dengan haiwan yang anda makan kerana saya vegetarian," katanya.

Hasil karya Noortje akan dipamerkan di Festival Seni Kontemporari Rotterdam tidak lama lagi dan kepala burung merpati putih di atas bulu tangkis antara hasil seni yang bakal menarik perhatian pengunjung.

Seekor tupai yang diawet dalam keadaan berdiri dengan satu tiub dimasukkan ke dalam mulut juga akan dipamerkan.

Lebih menarik lagi tupai berkenaan sebenarnya dijadikan sebagai tempat meletak bunga.

Satu lagi hasil karya yang bertajuk Drumstick, menggunakan satu kaki anak ayam berbulu putih yang diletakkan pada satu tiang kayu.

Dua kepala angsa digabungkan menjadi satu haiwan pelik turut dipamerkan.

Di studio milik Noortje yang terletak di The Hague, terdapat satu keluarga tikus yang dijadikan sebagai perhiasan meja.


Tikus berkenaan telah dibuang kaki belakangnya dan diganti dengan perhiasan berwarna merah, hijau, biru dan kuning.

Haiwan itu disusun menyerupai watak tikus dalam program televisyen kanak-kanak popular di negara itu - Mr Mouse Fingerbobs.

"Kerja saya melibatkan bidang taksidermi atau kemahiran mengawet haiwan dan seni.

"Karya saya kadangkala mengejutkan atau sangat luar biasa tetapi saya berharap ia menjadi perbualan pengunjung," kata Zijlstra.

Menurutnya, dia kini menjadikan bangkai seekor burung gagak sebagai hasil karya terbarunya.


Dengan memakai sarung tangan pembedahan, Zijlstra menunjukkan kepada wartawan bagaimana dia memotong dada burung berkenaan sebelum mengeluarkan organ dalaman haiwan itu.

"Ini yang saya lakukan. Saya membuka `jaket' haiwan itu dan menggunakan ia sebagai satu medium seni.

"Sebaik ia bertukar menjadi karya seni ia bukan lagi seekor haiwan yang telah mati," tambahnya.


Zijlstra antara sebahagian kumpulan artis muda Belanda termasuklah, Jaap Sinke dan Ferry van Tongeren yang mendapat pengiktirafan dunia seni dengan menggunakan taksidermi sebagai medium untuk berkarya.

"Saya tidak tahu apakah yang dapat dihasilkan daripada burung gagak ini tetapi saya berharap ia akan menarik perhatian orang ramai," jelas Zijlstra. - AFP/myMetro