PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) menubuhkan ‘war room’ atau bilik gerakan bagi memantau aduan
pengguna dan menyelaras tindakan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, bilik gerakan yang
bertempat di bangunan kementerian itu di sini akan beroperasi 24 jam
dengan dikendalikan 40 petugas secara bergilir bagi mendapatkan situasi
kesan pelaksanaan cukai berkenaan.
Beliau berkata, bilik gerakan itu akan memastikan setiap aduan diberi
perhatian untuk ditangani segera oleh 2,000 anggota penguatkuasa
kementerian yang bersiap siaga di seluruh negara.
“Dalam war room itu kita tempatkan segala kemudahan dan peralatan
yang membolehkan setiap laporan yang diterima berhubung tindakan peniaga
dikumpul sebelum disalurkan kepada bahagian penguatkuasaan di negeri
atau kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus adalah bagi menggantikan
cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16
peratus.
“Kita lakukan demi kebaikan rakyat dan kementerian memerlukan
kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan laporan bagi membolehkan
tindakan diambil,” katanya,” sambil menambah bilik gerakan yang akan
dilancarkan dalam masa terdekat itu boleh dihubungi di talian
03-88826245. - mStar