GST: Peniaga Jangan Pandang Rendah Kuasa Pengguna


KUALA LUMPUR - Peniaga tidak harus memandang rendah kuasa membeli pengguna dengan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah dan kemudian menyalahkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Hakikatnya, pasaran kini sangat berdaya saing kerana peserta tempatan dan serantau yang kukuh kedudukannya sedang memasuki pasaran dengan produk berkualiti, sekali gus menawarkan pilihan lebih luas kepada pengguna.

Contoh jelas ialah dalam segmen produk kopi.

Beberapa tahun lalu, pilihan adalah terhad kepada Nescafe keluaran Nestle, namun kini rak untuk kopi dipenuhi oleh lebih 30 jenama.

Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Bhd, Alois Hofbauer berkata pengguna tidak harus terlalu bimbang tentang pelaksanaan CBP kerana peruncit akan mengambil kesempatan daripada kebimbangan mereka itu.

"Bagaimanapun, tidak ada peruncit atau pengeluar yang akan menaikkan harga produk mereka lebih tinggi daripada pasaran kerana mereka tahu pengguna akan beralih kepada alternatif yang lebih murah," katanya kepada BERNAMA.

Bagi membuktikan kata-kata mereka, Nestle antara syarikat terawal di Malaysia yang mengambil langkah proaktif menawarkan pengurangan harga antara lapan hingga dan 33 peratus kepada pengguna menerusi kempen promosi 'Lebih Nilai, Lagi Hebat', bulan lepas.

Bagaimanapun, Hofbauer berkata adalah amat penting bagi sebarang penjimatan daripada pengurangan harga itu disalurkan kepada peruncitnya memandangkan Nestle tidak menjual produknya secara langsung kepada pengguna.

"Pada akhirnya, peruncitlah yang akan menentukan harga kepada pengguna," katanya.

Sebenarnya Malaysia agak lambat dalam melaksanakan CBP kerana negara lain telah berbuat demikian pada 1990-an, namun tidak ada negara lain di dunia ini yang menguatkuasakan CBP seperti yang dirancang oleh Malaysia dengan senarai bekalan kadar sifar dan dikecualikan cukai bagi tempoh yang panjang.

Di luar negara, CBP atau cukai tambah nilai (VAT) berjaya meningkatkan pendapatan majoriti negara yang melaksanakannya.

Malah, ia merupakan antara cukai paling berjaya di United Kingdom sehinggakan tidak banyak yang membantah apabila kadar VAT dinaikkan kepada 20 peratus pada Januari 2011 daripada 17.5 peratus sebelum itu, berbanding cukai-cukai lain. -BERNAMA