WANITA hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah. #Alhamdulillah bakal tunang saya sudah berhijab #1March2015 – demikian status diberikan Hairul Azreen pada gambar Hanis Zalikha yang dimuatnaik di Instagram miliknya hari ini.
Boleh dikatakan satu Malaysia dah tahu, pasangan ini mempunyai
hubungan istimewa selepas Hairul bertindak melamar Hanis secara terbuka
sewaktu pentas akhir program hiburan Gegar Vaganza bersiaran secara langsung di saluran Astro, 4 Januari lalu.
Selepas lamaran diterima, Hairul dan Hanis juga telahpun terbang ke
kota Paris untuk merakam gambar pra-perkahwinan sekaligus menjadi
petanda hubungan mereka bakal diakhiri di jinjang pelamin tak lama lagi.
Tup-tup belum pun tarikh nikah diumumkan, Hairul tampil dengan pengumuman berita gembira ini.
Kami pasti, sebaik sahaja hal bertudung ini diketahui daripada Hairul
maka peminat tentu menjengah Instagram Hanis untuk melihat gambar
terbarunya, namun hampa.
Pos terakhir Hanis bertarikh empat hari lalu, itu pun gambar Hairul
dengan kapsyen membayangkan gambar itu diambil selepas dia tertinggal
telefon bimbitnya dalam kereta pemenang Fear Factor Selebriti Malaysia itu.
Bagaimanapun peminat nampaknya masih tidak mahu ketinggalan mengucapkan tahniah dan syukur kepada Hanis atas penampilan barunya.
Kami di Mynewshub juga tumpang gembira melihat perubahan positif dan kebahagiaan pasangan sama cantik sama padan ini.
Semoga reda Allah mengiringi perhubungan mereka hingga bergelar suami isteri yang sah.