TEMERLOH – Koperasi Penternak Ikan Patin Temerloh tidak bercadang
menaikkan harga ikan sungai itu walaupun kini berdepan kekurangan
bekalan kerana musim kemarau.
Pengerusinya, Abu Hanifah Majid berkata, setakat ini anggota koperasi itu masih menjual ikan patin pada harga RM15 sekilogram.
“Jika ada yang menjual dengan harga mahal, mungkin mereka bukan anggota koperasi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Abu Hanifah yang juga Pengerusi Persatuan Peladang Kawasan Temerloh
turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga ikan patin
sesuka hati walaupun ia bukan barang kawalan.
“Jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan…kos menternak seekor
ikan patin sehingga matang 6 bulan hanyalah sebanyak RM8 sahaja,”
katanya.
Beliau turut meminta penternak yang masih belum mendaftar sebagai
anggota persatuan dan koperasi, supaya berbuat demikian kerana pelbagai
manfaat menanti mereka termasuk diberi bantuan bekalan benih ikan,
makanan ikan serta peralatan. – BERNAMA