Hati-Hati "Update" Status Di Laman Sosial...

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau segala jenis media sosial bagi mengelakkan disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab bagi tujuan menghasut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, jika seseorang individu itu ingin menulis sesuatu kenyataan di media sosial, ia haruslah tidak berbaur hasutan.

"Sebagai contoh jika tweet...janganlah sampai menghasut dan menimbulkan kemarahan pihak lain. 

"Kami sebagai penguat kuasa utama akan mengambil apa jua langkah yang patut dalam mengekang perkara ini dan pastikan elemen seperti IS (melalui media sosial) tidak boleh mengancam ketenteraman awam," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Peringatan Polis yang ke-208 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, hari ini.
  
Khalid berkata, kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau di media sosial seperti Twitter boleh membuat laporan kepada pihak berkenaan (pengendali media sosial).
  
Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' selari dengan kehendak kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam, dan tema itu juga diambil bertujuan untuk merakyatkan perkhidmatan polis dalam memastikan pemuafakatan PDRM dan masyarakat terus ampuh.
  
Sementara itu, PDRM sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kes penghinaan terhadap agama Hindu yang disebarkan dalam laman sosial Facebook, Isnin lepas.
  
Khalid berkata, individu yang menyebarkan perkara itu akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.
  
"Tidak kisah siapa individu itu, kami tetap akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Semalam, Pemuda MIC Kebangsaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berhubung paparan di laman sosial Facebook yang didakwa berunsur penghinaan terhadap agama Hindu. - Bernama